Wanita terjun dari kereta selepas disamun

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang wanita nekad menyelamatkan diri dengan terjun dari kereta selepas menjadi mangsa samun dua penjenayah dalam kejadian di Cyber City di sini pada Jumaat.

Mangsa berusia 60 tahun itu disamun ketika masuk ke dalam keretanya selepas selesai membeli barang di sebuah kedai serbaneka pada jam 7.30 malam.

Difahamkan, seorang lelaki secara tiba-tiba masuk ke dalam kereta mangsa melalui pintu belakang sebelum mangsa diarahkan berpindah ke tempat duduk di belakang, manakala seorang lagi lelaki bertindak memandu kenderaan terbabit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, ketika berada di dalam kenderaan, mangsa dipaksa duduk secara menunduk sepanjang jalan sehingga mangsa tidak tahu lokasi perjalanan mereka.

"Suspek mengarahkan mangsa menyerahkan wang tunai serta barang kemas yang dipakainya dan bimbang dengan keselamatannya, mangsa terpaksa menyerahkan semua barangan berharga kepada suspek.

"Mangsa turut mendakwa selepas kira-kira sejam perjalanan, dia merayu supaya dibenarkan duduk kerana mengalami sakit belakang," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

George berkata, sebaik mangsa dibenarkan duduk, mangsa mengambil keputusan untuk membuka pintu kereta dan terjun keluar dari kenderaan terbabit.

"Mangsa kemudiannya diselamatkan orang ramai di lokasi sebelum dibawa membuat laporan polis di balai polis berhampiran.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa hanya mengetahui dia berada di daerah Papar selepas dimaklumkan orang awam yang membantunya.

"Mangsa tidak mengalami kecederaan dan jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM17,000," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana samun secara berkumpulan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Ahmar Zulfairie Ismail di talian 013-2618487.