Datuk tak mengaku salah lakukan amang seksual terhadap cucu

Tertuduh (kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Ahad.
Tertuduh (kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang datuk berusia 74 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap cucu kandungnya yang berusia lapan tahun pada Mac lalu.

Warga emas itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas cucu kandungnya yang berusia lapan tahun dengan membuatkan kanak-kanak itu menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak itu sendiri.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas cucunya itu dengan memasukkan jarinya ke dalam kemaluan kanak-kanak itu.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Impian Emas, Skudai di sini pada jam 6 petang, 6 Mac lalu.

Warga emas itu didakwa mengikut Seksyen 14 (c) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan tiada jaminan diberikan terhadap warga emas itu kerana dibimbangi akan mengganggu mangsa dan diperintahkan ditahan di Penjara Ulu Choh sehingga kesnya disebut semula.

Artikel Berkaitan:

Sebutan semula kes itu pada 2 Jun bagi penyerahan dokumen selain lantikan peguam warga emas berkenaan.