29 ah long dari empat kumpulan ditahan

Polis menyita 10 buah kenderaan mewah dalam serbuan di 12 lokasi pada Khamis lalu.
Polis menyita 10 buah kenderaan mewah dalam serbuan di 12 lokasi pada Khamis lalu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seramai 29 ahli sindiket pinjaman wang tanpa lesen (ah long) dari empat kumpulan ditahan selepas polis menyerbu 12 lokasi di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Kerian, Perak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, 10 daripada mereka merupakan dari geng Ah Hau manakala selebihnya dari Geng Alvin, Ah Boy dan Anson.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan dalam operasi oleh pasukan dari JSJK Bukit Aman dan JSJK Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada Khamis di antara jam 6 hingga 10 pagi.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 21 hingga 54 tahun yang mana seorang daripada mereka adalah wanita.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada ketua geng, pengurus, pemberi pinjaman, pengutip hutang dan penyelia.

"Wanita tersebut merupakan ahli geng Ah Hau yang bekerja di pusat panggilan yang mana dia akan menerima panggilan daripada peminjam," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di sini pada Sabtu.

Katanya, sindiket ini mensasarkan warga tempatan antaranya peniaga, kakitangan kerajaan dan swasta dengan menggunakan modus operandi mengiklankan tawaran pinjaman di aplikasi sosial antaranya Facebook, WeChat dan WhatApps.

Zainuddin berkata, sindiket yang aktif sejak 2017 itu memberi kadar faedah pinjaman di antara 10 hingga 15 peratus untuk tempoh seminggu.

Zainuddin menunjukkan parang dan barangan lain yang dirampas dari keempat-empat sindiket ah long tersebut.
Zainuddin menunjukkan parang dan barangan lain yang dirampas dari keempat-empat sindiket ah long tersebut.

"Mereka menawarkan pinjaman serendah RM1,000 hingga ratusan ribu ringgit kepada peminjam. Apabila peminjam gagal membayar semula pinjaman, ahli sindiket akan mengugut dan memberi ancaman kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

"Ahli sindiket juga akan ke rumah peminjam lalu melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan kekerasan jenayah ke atas kenderaan dan rumah peminjam.

"Mereka juga akan berpakat menghubungi peminjam yang gagal melunaskan bayaran pinjaman dengan menawarkan pinjaman baharu bagi menyelesaikan hutang terdahulu. Ia adalah cara untuk mangsa meneruskan kontrak dengan memaksa mangsa membuat bayaran berlipat kali ganda menerusi faedah yang dikenakan secara berterusan," katanya.

Beliau berkata, polis menyerbu tiga buah rumah teres yang disewa geng Ah Hau untuk dijadikan pejabat dan pusat panggilan sindiket.

"Peminjam terdiri daripada individu di seluruh negara antaranya Pulau Pinang, Selangor dan Johor. Kita turut menyita 10 buah kenderaan mewah bernilai ratusan ribu ringgit daripada ahli sindiket tersebut.

"Selain itu, kita juga merampas 119 keping cek pelbagai bank; 68 unit telefon bimbit; 27 keping kad bank; pelbagai jenis dokumen pinjaman; barangan kemas; 10 buah kenderaan, wang tunai bernilai RM98,718 dan sebilah parang yang dipercayai digunakan untuk mengugut peminjam," katanya.

Zainuddin berkata, hampir kesemua yang ditahan mereka mempunyai pelbagai rekod lampau membabitkan kesalahan dadah dan jenayah termasuk membunuh serta mendatangkan kecederaan parah.

Dalam pada itu, Zainuddin berkata, sebanyak 291 kes dilaporkan dan disiasat oleh JSJK membabitkan pinjaman sebanyak RM1.53 juta sejak Januari sehingga semalam (Jumaat).

"Pada 2019, sebanyak 1,220 kes dilaporkan berkaitan ah long dengan jumlah tangkapan 1,298 orang.

"Sementara itu bagi tahun 2020 pula, kita menjalankan siasatan terhadap 1,082 kes dengan 619 orang telah ditahan," katanya.