Pesat lancar Tabung Prihatin, bantu anak Terengganu

Mohd Sham Aziz Ismail (tiga dari kanan) bersama barisan jawatankuasa Pesat di Kumpulan Karangkraf pada Jumaat
Mohd Sham Aziz Ismail (tiga dari kanan) bersama barisan jawatankuasa Pesat di Kumpulan Karangkraf pada Jumaat
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Anak-Anak Terengganu di Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat) akan melancarkan Tabung Prihatin Pesat bagi membantu komuniti anak-anak Terengganu khususnya di Lembah Klang pada Ahad ini.

Presidennya, Mohd Sham Aziz Ismail berkata, penubuhan tabung itu bertujuan memudahkan urusan persatuan dalam penyediaan barang-barang bantuan kecemasan seperti bekalan makanan dan kumpulan sukarelawan.

“Apabila kita mahu membantu saja, kita tubuh satu jawatankuasa dan kita cari dana. Sedangkan proses itu sudah tentu sekali mengambil masa dan suasana yang kita nak bantu itu kadang-kadang dah pulih.

“Keadaan itu menyebabkan bentuk sumbangan yang kita nak salurkan itu ada sedikit kekangan. Jadi dari dana yang dikumpulkan dari masa ke masa, kita tengok dah terkumpul. Jadi kita boleh bersedia awal,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mohd Sham Aziz berkata, tabung itu akan digerakkan sepanjang masa kepada semua pihak khususnya untuk ahli persatuan sendiri.

“Maknanya tidak ada tarikh akhir tabung ditutup. Kita buka sepanjang masa dan kita akan cari dana melalui ahli dan komuniti Terengganu yang ada di kawasan Lembah Klang serta syarikat-syarikat yang bersedia untuk menyumbang.

“Kita sudah ada pencapaian dari segi sumber kerana kita ada ramai kenalan (yang boleh membantu). Anak-anak Terengganu yang berjaya di Kuala Lumpur pun sudah ramai.

“Dari situlah kita mengharapkan mereka ini menghulurkan bantuan melalui Pesat dan kita salurkan (bantuan tersebut) kepada pihak-pihak tertentu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, Pesat dalam perancangan mengeluarkan ‘Coffee Table Book’ pada tahun ini sempena 50 tahun penubuhan persatuan berkenaan.

“Konsep ‘Coffee Table Book’ ini di sebenarnya lebih kepada penceritaan kepada sejarah, latar belakang dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

“Dalam hubungan ini, kita cuba dapatkan pandangan daripada Kumpulan Karangkraf sendiri sama ada boleh untuk kolaborasi dengan Pesat untuk mencadangkan dari segi penerbitan buku tersebut.

“Hasrat kita adalah menjayakan ‘Coffee Table Book’ pada tahun ini kerana sesuai sempena sambutan 50 tahun persatuan itu sendiri. Kita melihat inilah waktu sesuai untuk kita terbitkan buku itu,” katanya.