KUIM dinaik taraf ke universiti penuh

KUIM kini dikenali sebagai Universiti Melaka atau UniMEL.
KUIM kini dikenali sebagai Universiti Melaka atau UniMEL.
A
A
A

ALOR GAJAH - Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) yang dinaik taraf menjadi sebuah universiti penuh pada Khamis, kini dikenali sebagai Universiti Melaka atau UniMEL.

Penyampaian watikah rasmi naik taraf itu disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad kepada Exco di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan), Datuk Noor Effandi Ahmad mewakili Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Hadir sama, Naib Canselor KUIM, Profesor Datuk Dr Mohd Taib Dora bersama barisan pengurusan tertinggi universiti tersebut.

Universiti itu dalam satu kenyataannya pada Jumaat menyatakan, pengiktirafan itu akan memacu UniMEL untuk berusaha ke arah membangunkan modal insan yang mahir dalam menggabung jalinkan ilmu bidang pengetahuan sedia ada dengan penggunaan teknologi digital.

“UniMEL juga berkonsepkan pengajian berteknologi digital dengan tema Ilmu Digital Untuk Pembangunan Modal Insan berfokuskan kepada keusahawanan Islam, selari dengan T.E.R.A.S. (Teknologi, Entrepreneurship, Revolusi Industri dan Ekonomi, Antarabangsa, Sejahtera) Melaka.

“Orientasi utamanya adalah berteraskan kolaborasi strategik Universiti-Industri-Komuniti secara displin rentas dan silang, demi memastikan pencapaian pembangunan lestari,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah, pihak universiti dan kerajaan negeri juga akan bekerjasama bagi meningkatkan jumlah pelajar tempatan dan antarabangsa, seterusnya membantu meletakkannya dalam ‘ranking’ institusi pengajian tinggi seluruh dunia, sekali gus menjadikan UniMEL salah satu daripada institusi pendidikan terunggul di Malaysia.

UniMel yang dahulunya Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) ditubuhkan pada 1994 dan dikenali sebagai Kolej Islam Melaka, merupakan sebuah institusi pengajian tinggi milik penuh kerajaan negeri Melaka.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini universiti berkenaan mempunyai kampus tetap, tenaga pengajar berpengalaman, infrastruktur dan prasarana yang lengkap bersesuaian dengan tarafnya sebagai sebuah universiti penuh. - Bernama