Dua lebuh raya di Johor akan dinaik taraf lebih awal

Onn Hafiz (kanan) mengadakan pertemuan dengan Ahmad Maslan (kiri) pada Selasa.
Onn Hafiz (kanan) mengadakan pertemuan dengan Ahmad Maslan (kiri) pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua projek pembangunan naik taraf lebuh raya di negeri ini akan dilaksanakan lebih awal daripada perancangan asal.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, projek tersebut ialah pembinaan lorong memotong di Senai Desaru Expressway (SDE) yang akan dimulakan pada November tahun ini.

Selain itu katanya, projek pelebaran jalan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang bakal dimulakan pada Februari 2024.

"Syukur berkat penyelarasan di antara Kerajaan Johor, Kementerian Kewangan dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), maka kerja-kerja fizikal dua projek pembangunan naik taraf lebuhraya Negeri Johor akan dilaksanakan lebih awal daripada perancangan asal.

"Untuk makluman, kerja-kerja fizikal dua projek berkenaan sepatutnya hanya akan bermula pada penghujung tahun 2024," katanya menerusi muat naik di Facebook rasminya pada Selasa.

Sebelum itu, Onn Hafiz mengadakan perjumpaan bersama Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Dalam perjumpaan berkenaan, beberapa perkara telah dibangkitkan dan dibincangkan terutamanya mengenai infrastruktur dan pembangunan ekonomi demi kesejahteraan Bangsa Johor.

"Kerajaan Persekutuan kerana telah meluluskan 496 projek dengan jumlah peruntukan RM4.5 bilion untuk projek pembangunan di Johor bagi tahun ini.

"Semua ini tidak akan dapat dilaksanakan dan direalisasikan tanpa kerja keras semua pihak, baik di peringkat Kerajaan Persekutuan, mahupun kerajaan Johor," ujarnya.