MCT kini dikenali sebagai Avaland

Majlis Penjenamaan semula MCT Berhad yang berlangsung di W Hotel Kuala Lumpur pada Jumaat. - FOTO MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Majlis Penjenamaan semula MCT Berhad yang berlangsung di W Hotel Kuala Lumpur pada Jumaat. - FOTO MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

KUALA LUMPUR - MCT Berhad dijenamakan semula sebagai Avaland Berhad (Avaland) bagi memperkenalkan identiti korporat baharunya susulan pegangan majoriti oleh pemaju hartanah dari Filipina, Ayala Land Inc (Ayala Land).

Ketua Pegawai Eksekutif Avaland, Teh Heng Chong berkata, Ayala Land membeli pegangan majoriti syarikat berkenaan pada 2018 dan sejak itu, Avaland menjalani penstrukturan semula organisasi secara komprehensif serta memberi fokus perniagaan teras kepada pembangunan hartanah.

"Avaland berasal daripada 'Avant-Garde' yang bermaksud menerima inovasi dan memperkenalkan konsep baharu.

"Itu yang telah kami lakukan dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan mencipta semula identiti dan menemui kemungkinan pertumbuhan baharu," katanya ketika berucap pada Majlis Penjenamaan Semula MCT pada Jumaat.

Heng Chong
Heng Chong

Dalam pada itu Heng Chong berkata, Avaland telah melancarkan tujuh projek baharu sejak 2019 yang terdiri daripada 2,500 unit kediaman dengan jumlah Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM2 bilion.

Walaupun menghadapi cabaran kesan pandemik Covid-19 serta peningkatan kos dan inflasi, Heng Chong menjelaskan, Avaland berjaya menyesuaikan diri dengan pasaran normal baharu dan seterusnya berkembang pesat.

"Syarikat ini menerima transformasi digital dan melaksanakan langkah pengurusan kos yang baik di samping mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan pekerja.

"Selain itu, kami turut memastikan syarikat dapat mengekalkan kesinambungan operasi untuk pelanggan yang dihargai," ujarnya.

Heng Chong turut memaklumkan, Avaland secara aktif meluaskan pasarannya dengan pembangunan di atas tanah seluas 4.02 ekar di Bangi pada 2022 di samping Taman Seputeh (1.57 ekar) dan Taman Desa (3.9 ekar) tahun ini.

Majlis Penjenamaan semula MCT Berhad yang berlangsung di W Hotel Kuala Lumpur pada Jumaat. - FOTO MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Majlis Penjenamaan semula MCT Berhad yang berlangsung di W Hotel Kuala Lumpur pada Jumaat. - FOTO MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Rangkaian projek berkenaan secara keseluruhan bernilai RM1.2 bilion, termasuk Alora Residences dan Amika Residences di Subang Jaya.

"Melangkah ke hadapan, Avaland komited mengamalkan pematuhan ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) dengan mengutamakan ciri-ciri kemampanan, nilai dalam reka bentuk serta fungsi yang memberi manfaat kepada pelanggan.

"Kami juga akan bekerjasama dengan GreenRE Malaysia untuk memperakui semua projek baharu sebagai pembangunan hijau," katanya.