KASA tolak cadangan Guan Eng

Tuan Ibrahim (tengah), Zainal (kanan) dan Idris (tiga dari kanan) melawat gerai Jabatan Perhutanan Negeri sempena program 'Melaka Bumi Lestari' di Hotel La Crista, Melaka pada Jumaat.
Tuan Ibrahim (tengah), Zainal (kanan) dan Idris (tiga dari kanan) melawat gerai Jabatan Perhutanan Negeri sempena program 'Melaka Bumi Lestari' di Hotel La Crista, Melaka pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMASKINI] Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menolak cadangan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk menganjur satu persidangan khas bagi membincangkan isu berkaitan perubahan iklim.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kementerian itu mempunyai banyak program yang berkait rapat dengan isu perubahan iklim.

Sehubungan itu katanya, adalah lebih baik Guan Eng memfokuskan penyelesaian terhadap masalah pencemaran di negeri Pulau Pinang terlebih dahulu.

"Saya fikir dia (Guan Eng) kena laksanakan isu pencemaran di Pulau Pinang dahulu selain pencemaran Sungai Kereh di Kampung Selamat dan isu ternakan babi yang masih belum selesai sehingga mencemarkan alam sekitar selain kilang-kilang.

"Kita di kementerian ada tanggungjawab yang lebih besar menerusi penganjuran program yang kita laksanakan. Insya-ALLAH banyak yang akan kita lihat serta laksanakan untuk kepentingan rakyat," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan program 'Melaka Bumi Lestari' di Hotel La Crista Jalan Hang Tuah di sini pada Jumaat.

Hadir sama ialah Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Seri Idris Haron yang mewakili Ketua Menteri Melaka; Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Salhah Salleh.

Pada Khamis, DAP menggesa Tuan Ibrahim menganjurkan persidangan peringkat kebangsaan untuk membincangkan isu-isu perubahan iklim.

Guan Eng berkata, langkah itu perlu dibuat agar kerajaan khususnya kementerian berkenaan dapat mengumpul idea baharu untuk memulihkan aktivisme dan kepemimpinan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, KASA akan menggubal Rang Undang-undang (RUU) Perubahan Iklim bagi memastikan setiap tindakan dibuat dapat mengikut perundangan itu.

Setakat ini katanya, Malaysia belum mempunyai sebarang RUU yang berkaitan perubahan iklim, namun hanya mempunyai dasar perubahan iklim sahaja.

Beliau bagaimanapun berkata, dasar berkenaan sedang melalui proses semakan semula supaya dapat diselaraskan dengan RUU yang akan digubal nanti.

"Setakat ini pihak kementerian sedang lengkapkan RUU. Kita perlu gubal supaya apa-apa tindakan yang nak dibuat ada ikatan perundangan dan kita boleh bertindak berdasarkan perundangan," katanya.