Polis nasihat Zahid, Anwar buat laporan

Abdul Hamid
Abdul Hamid
A
A
A

MELAKA - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menasihatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya membuat laporan polis berhubung penyebaran audio perbualan telefon yang tular baru-baru ini.

Abdul Hamid berkata, kedua-dua pemimpin itu sehingga kini masih belum membuat laporan polis berhubung dakwaan audio berkenaan yang didakwa fitnah.

Beliau berkata, polis akan melakukan siasatan sekiranya perkara tersebut menggugat keamanan orang ramai.

"Laporan belum dibuat, jadi kita tunggu. Kalau betul beliau (Ahmad Zahid dan Anwar) difitnah, buatlah laporan demi kebaikan.

"Kita juga akan lihat daripada tempoh reaksi orang ramai terhadap audio tersebut. Sekiranya sampai satu tahap ia menimbulkan kebimbangan dan kegusaran semua, kita akan jalankan siasatan," katanya ketika sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat Operasi Bersepadu Ops Khazanah (OBK) Siri 7 di Hotel Casa Del Rio di sini pada Jumaat.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir dan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Abdul Hamid berkata, sejak audio itu tular pada Rabu lalu, polis telah menerima tujuh laporan berhubung perkara tersebut.

Beliau berkata, siasatan lanjut audio itu termasuk menganalisa suara salah seorang daripada mereka hanya akan dibuat selepas kertas siasatan dibuka.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata, polis yakin penjenayah dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee masih berada di dalam negara.

Menurutnya, rangkaian individu berkenaan semua telah ditangkap dan pasukan khas di bawah Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay akan terus menilai apa juga maklumat dikongsikan orang ramai.

"Saya juga memberi amaran kepada sesiapa sahaja yang dikesan terlibat melindungi suspek akan dibawa ke muka pengadilan. Kita telah uar-uarkan bahawa dia (Nicky) sebagai seorang yang dikehendaki," katanya.

-