Angkasa teruskan CSR menerusi program BA100

Gimik penyerahan sumbangan makanan asas BA100 Angkasa untuk diagihkan Yayasan Bank Rakyat kepada mangsa banjir.
Gimik penyerahan sumbangan makanan asas BA100 Angkasa untuk diagihkan Yayasan Bank Rakyat kepada mangsa banjir.
A
A
A

PETALING JAYA - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyampaikan sumbangan Projek Barang Asas 100 (BA100) kepada warga koperasi yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia pada awal tahun ini.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sebanyak 100 pek sumbangan barangan keperluan harian bernilai RM5,000 akan diserahkan kepada Yayasan Bank Rakyat untuk diagihkan.

Menurutnya, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Coopcare Angkasa Prihatin Bencana Banjir dengan Yayasan Bank Rakyat itu adalah permulaan kerjasama antara dua pihak untuk mendapat manfaat yang lebih besar.

"Matlamat kita adalah sama, jadi mengapa tidak kita membuat gabungan yang lebih besar untuk mendapatkan lebih tenaga kerja dan sumbangan, yang manfaatnya boleh diberi dengan lebih berkesan.

"Banyak lagi kerjasama yang boleh dirangka selepas ini, kita akan bincang kerjasama dengan Yayasan Bank Rakyat bagi melihat aktiviti yang boleh dibuat bersama selain CSR dan pendidikan," katanya pada majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya pada Jumaat.

Abdul Fattah (dua dari kiri) menyerahkan keperluan barangan asas sumbangan Angkasa kepada Nazir Hussin untuk diagihkan oleh Yayasan Bank Rakyat.
Abdul Fattah (dua dari kiri) menyerahkan keperluan barangan asas sumbangan Angkasa kepada Nazir Hussin untuk diagihkan oleh Yayasan Bank Rakyat.

Majlis penyerahan disampaikan Abdul Fattah kepada Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin.

Artikel Berkaitan:

Abdul Fattah berkata, Angkasa telah membelanjakan RM3 juta bagi tempoh pandemik Covid-19 sejak tahun lalu untuk program CSR termasuk RM1 juta disumbang secara terus kepada kerajaan.

"Saya akui impak Covid-19 memang terasa. Boleh dikatakan saban hari saya terima bermacam mesej termasuk dari Sabah dan Sarawak yang memohon bantuan.

"Jika dahulu saya terima permohonan untuk bantuan menaja program dan biasiswa pendidikan, tetapi sekarang sampai satu tahap ada yang hantar mesej mohon untuk dibayarkan tong gas," katanya.

Justeru katanya, Angkasa akan meneruskan sumbangan dengan menjunjung penuh Prinsip Koperasi Ketujuh iaitu mengambil berat terhadap masyarakat dengan sentiasa mencari ruang dan peluang ke hadapan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat terutama ahli koperasi terbela.