Geng kongsi gelap rekrut pelajar, jalani ritual angkat sumpah berdarah

Arjunaidi menunjukkan gambar kegiatan ahli Geng 24 Bukit Raja yang dikesan merekrut golongan pelajar selain masih mengamalkan upacara angkat sumpah berdarah.
Arjunaidi menunjukkan gambar kegiatan ahli Geng 24 Bukit Raja yang dikesan merekrut golongan pelajar selain masih mengamalkan upacara angkat sumpah berdarah.
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan kongsi gelap, Geng 24 Bukit Raja yang dikesan merekrut golongan pelajar dengan menjanjikan pengaruh selain mewajibkan ahli baharunya menjalani ritual angkat sumpah berdarah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kegiatan itu dikesan susulan penahanan 50 ahli geng terbabit susulan insiden rusuhan di sebuah pusat hiburan di Setia Alam, pada September tahun lalu.

Menurutnya, kejadian membabitkan 40 lelaki dengan pengawal keselamatan premis terbabit berpunca apabila geng berkenaan datang berjumpa pemilik premis untuk berbincang bayaran perlindungan setiap bulan.

"Namun, pemilik premis terbabit tidak bersetuju lalu menyebabkan suspek merosakkan premis dan merusuh.

"Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat insiden terbabit dan mendapati ia dilakukan oleh Geng 24 Bukit Raja," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Jumaat.

Arjunaidi berkata, setakat ini, JSJ Selangor telah menahan seramai 50 ahli geng terbabit yang telah terlibat pelbagai kesalahan jenayah di sekitar Lembah Klang seperti rusuh, pergaduhan, samun dan pemerasan.

Katanya, daripada jumlah itu, 19 telah dituduh, 20 dikenakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan 11 masih ditahan reman.

"Soal siasat jumlah keahlian geng ini mencecah 100 orang terdiri daripada pelajar hingga golongan dewasa berusia 50 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Kita percaya geng ini rekrut ahli baru di kalangan pelajar dengan menjanjikan tawaran perlindungan, pengaruh, kuasa serta wang tunai dan sebab itu ramai yang menyertai geng ini.

"Ada beberapa sekolah telah dikenal pasti menjadi sasaran geng ini dan kita yakin geng ini masih aktif," katanya.

Katanya lagi, geng ini adalah kumpulan terancang dan berorganisasi dengan mendapatkan sumber kewangan daripada kegiatan samun, jaga kawasan, pusat hiburan, rumah urut dan perjudian.

Tambahnya, polis juga mendapati ahli geng yang baharu direkrut akan menjalani upacara angkat sumpah berdarah iaitu satu ritual lazim untuk menunjukkan taat setia, patuh dan hormat kepada ketua.

"Perbuatan seperti ini jelas satu kesalahan di bawah Seksyen 52 Akta Pertubuhan 1966 dan individu yang terlibat dalam mana-mana pertubuhan haram akan disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966. Polis juga akan mengambil tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA)," katanya.

Tegas Arjunaidi, siasatan masih dijalankan untuk memburu lapan individu ahli geng terbabit dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh salurkan kepada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Shahriman Mat Junos di talian 012-3480281.