Malaysia rakan pembangunan China

Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing menandatangani buku pelawat ketika melawat Wisma Bernama hari ini. -Foto Bernama
Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing menandatangani buku pelawat ketika melawat Wisma Bernama hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - China menganggap Malaysia sebagai rakan kongsi yang dipercayai dalam pembangunan dan persahabatan erat antara kedua-dua negara perlu diperkukuhkan lagi, kata Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Beliau berkata, hubungan Malaysia dan China bersandarkan kepada landasan yang kukuh dan kerjasama erat dapat disaksikan dalam pelbagai bidang.

"Sebagai contoh, Malaysia adalah rakan baik China dalam Inisiatif Belt and Road (BRI). Menurut statistik kami, projek BRI terbesar di dunia adalah di Malaysia iaitu ECRL (projek Laluan Rel Pantai Timur),” katanya semasa melawat ibu pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini pada Khamis.

Katanya, Universiti Xiamen yang terletak di Sepang, Selangor pula satu-satunya kampus di luar China.

Ketibaan beliau bersama empat wakil kedutaan disambut Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datuk Mokhtar Hussain.

Ouyang turut bertemu Pengerusi Bernama, Senator Datuk Ras Adiba Radzi sebelum menghadiri taklimat dan perbincangan dengan pegawai atasan. Hadir sama Ketua Pengarang Bernama, Abdul Rahman Ahmad.

Delegasi itu turut melawat Media Digital Bernama dan Bernama News Channel.

"Saya merasa bertuah ditugaskan ke Malaysia kerana kedua-dua pihak menjalinkan hubungan politik yang kukuh, kerjasama erat dan hubungan rapat dalam kalangan rakyat kedua-dua negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut duta itu, Malaysia dan seluruh dunia akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan Rancangan Lima Tahun ke-14 China (2021-2025) untuk Pembangunan Ekonomi dan Sosial yang diluluskan Mac lalu.

Selain itu, Ouyang dan Bernama turut membincangkan peluang kerjasama dalam pertukaran berita dan wartawan, memanfaatkan media digital sebagai pemangkin memacu ekonomi digital di kedua-dua negara. - Bernama