X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia tunggu laporan EMA sebelum putuskan vaksin Astrazeneca

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan memutuskan sama ada akan meneruskan penggunaan vaksin AstraZeneca pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan selepas menerima hasil dapatan Agensi Perubatan Eropah (EMA) mengenai vaksin tersebut.

Menteri Penyelaras program imunisasi itu Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, laporan oleh agensi Kesatuan Eropah (EU) itu akan menentukan sama ada penggunaan vaksin itu ada kaitan dengan pembekuan darah (thrombosis).

“Kami akan menentukan sama ada untuk meneruskannya atau kami meneruskannya (tetapi) dengan berhati-hati,” katanya pada webinar Penjagaan Kesihatan ASEAN 2021 secara maya anjuran CARI ASEAN Research and Advocacy dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN pada Rabu.

Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, Malaysia masih mempunyai masa untuk membuat keputusan memandangkan vaksin AstraZeneca datang dari kemudahan COVAX hanya pada bulan depan.

Beliau berkata, isu penggunaan vaksin AstraZeneca turut dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) semalam.

Menurut catatan twitter EMA, taklimat media mengenai kesimpulan oleh Jawatankuasa Keselamatan EMA berhubung kajian semula kaitan Astra Zeneca dengan darah beku dijadualkan jam 4 petang Waktu Eropah Tengah (CET) hari ini atau jam 10 malam waktu Malaysia.

Dalam pada itu, Khairy berkata 80 peratus vaksin dibekalkan ke Malaysia telah diberikan kepada rakyat dan usaha perlu dipertingkatkan pada Jun sekiranya negara mahu mencapai sasaran imunisasi 80 peratus rakyat Malaysia menjelang Disember ini.

Ditanya sama ada pengamal media dianggap sebagai barisan hadapan dalam program vaksinasi, katanya, mereka akan dimasukkan ke dalam senarai itu tidak lama lagi dengan beberapa slot ditawarkan bagi setiap organisasi media.

“Kami menerima rayuan daripada orang ramai untuk dikategorikan sebagai anggota barisan hadapan dan kami telah meluluskan anggota penguatkuasa Kementerrian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan media juga akan disenaraikan,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!