TNB serah tajaan RM2 juta kepada KHM

Mohamad Ariff (kiri) menyerahkan penajaan RM2 juta kepada Subahan dalam satu majlis simbolik di Ibu Pejabat TNB, Khamis lalu.
Mohamad Ariff (kiri) menyerahkan penajaan RM2 juta kepada Subahan dalam satu majlis simbolik di Ibu Pejabat TNB, Khamis lalu.
A
A
A

TENAGA Nasional Berhad (TNB) terus komited dalam membangunkan sukan hoki di negara ini dengan menyerahkan tajaan RM2 juta kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat TNB, Mohamad Ariff Zainol berkata, tajaan itu bagi menjamin kelangsungan penganjuran Liga Hoki Malaysia (TNB-MHL) yang berakhir Sabtu lalu.

"TNB meneruskan komitmen itu sekalipun dalam keadaan sukar susulan pandemik Covid-19 yang memaksa liga dilangsungkan secara gelembung sukan sepenuhnya bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP), sekali gus meningkatkan kos penganjuran.

"TNB sentiasa menyokong usaha-usaha memartabatkan sukan hoki dan ini merupakan kesinambungan komitmen kami dalam melahirkan pemain-pemain hoki bertaraf dunia,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menyerahkan penajaan RM2 juta itu kepada Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal dalam satu majlis simbolik di Ibu Pejabat TNB, Khamis lalu.

TNB telah menjadi penaja utama liga hoki kebangsaan sejak 2006 yang menjadi gelanggang mempertemukan pemain-pemain utama hoki tempatan untuk dipilih dan digandingkan dalam skuad kebangsaan.

Dalam pada itu, Subahan melahirkan rasa kesyukuran dengan komitmen TNB meneruskan tajaan dalam menjamin liga hoki kebangsaan kekal hidup sekali pun dalam keadaan sukar.

"Kami (KHM) amat bertuah. Bagi sukan hoki negara kami amat bersyukur kerana TNB tidak pernah mengecewakan, apatah lagi banyak urusan dan aktiviti lain di negara ini, terjejas akibat pandemik," katanya.

Artikel Berkaitan: