Pemandu e-hailing hina Agong didenda lagi

Sufazrin Amin keluar dari pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur selepas selesai membayar denda pada Rabu.
Sufazrin Amin keluar dari pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur selepas selesai membayar denda pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu e-hailing yang pernah didenda RM16,000 kerana membuat komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi dihukum RM7,000 atas kesalahan sama di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Sufazrin Amin Ismail, 27, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan M M Edwin Paramjothy.

Mahkamah turut memerintahkan Sufazrin Amin dipenjara enam bulan jika gagal membayar jumlah denda itu.

Bagaimanapun dia dilaporkan membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Sufazrin Amin selaku Orang Kena Saman (OKS), didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakiti orang lain menerusi aplikasi Twitter menggunakan nama profil Fazr_Ismail.

Hantaran dibuat antara jam 1.55 petang pada 6 Januari 2020 kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini pada 8 Januari 2020 jam 4.30 petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu e-hailing berdepan denda RM400,000 hina Agong

Dia yang hadir dengan memakai baju T berkolar warna biru dan berseluar jeans didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Artikel Berkaitan:

Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Ketika ditanya mengenai rayuan, Sufazrin Amin yang tidak diwakili peguam memberitahu, dia menyesal dan insaf dengan perbuatan itu malah tidak lagi memuat naik kenyataan bersifat jelik di laman sosial.

"Saya minta maaf, saya rayu agar mahkamah dapat mengurangkan kadar denda kerana saya dari keluarga miskin,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad berkata, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran.

“Walaupun negara mengamalkan hak kebebasan bersuara tetapi Institusi Diraja di negara ini perlu dihormati,” katanya.

Pada 27 Ogos tahun lalu, Sufazrin Amin didenda RM16,000 oleh mahkamah sama kerana membuat empat hantaran komunikasi menghina Yang di-Pertuan Agong.