Suami Siti Nuramira didenda RM16,000 buat video jelik

Alexander Navin (tengah) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 13 Julai tahun lalu atas dua pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik di laman sosial Instagram serta YouTube. - Foto fail Bernama
Alexander Navin (tengah) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 13 Julai tahun lalu atas dua pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik di laman sosial Instagram serta YouTube. - Foto fail Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Suami kepada wanita yang menimbulkan kontroversi semasa membuat persembahan di kelab komedi pada 2022 lalu, didenda RM16,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas dua pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik.

V Alexander Navin, 39, dikenakan hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah semasa sebutan semula kes di hadapan Hakim, Azrul Darus.

Semasa membaca keputusan kes itu, hakim memerintahkan tertuduh didenda RM8,000 bagi setiap pertuduhan, namun jika gagal, Alexander diperintah untuk menjalani hukuman penjara empat bulan bagi setiap pertuduhan.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Instagram menggunakan nama profil Twitter ‘greenleafyconnoiseur’ dan YouTube dengan nama profil ‘Alex & Amy @ insta Greenleafyconnoiseur’ masing-masing pada 5 dan 16 Jun tahun lalu.

Kedua-dua hantaran itu kemudian dibaca di sebuah kondominium di Damansara Perdana di sini pada jam 10.30 pagi, 9 Julai tahun sama.

Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, peguam, R Sivaraj yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana menyesal dengan perbuatan itu.

"Alexander atau nama Islamnya, Alexander Dzulkarnain Chandran bergelar Muslim pada 21 Julai tahun lalu dan berkahwin dengan Siti Nuramira Abdullah pada 6 Disember tahun sama," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, P Vitiya Monisha mencadangkan mahkamah menjatuhi hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam lebih penting daripada tertuduh.

Sebelum ini, video berdurasi 54 saat memaparkan seorang wanita menanggalkan tudung dan pakaian ketika membuat persembahan komedi solo.

Ia tular di media sosial dan mengundang kecaman daripada orang ramai.

Pada 17 April lalu, wanita itu, Siti Nuramira didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan, iaitu sengaja melukakan perasaan agama lain dengan menyebut, dia seorang Muslim, menghafal 15 juzuk al-Quran, membuka tudung dan menanggalkan baju kurung, pada jam 6 petang, 4 Jun 2022.