Dua anggota URB bongkar sindiket syabu RM22.46 juta naik pangkat

Muhamad Shahilmi melihat pangkat sarjan yang diterima rakan setugasnya, Simon Pasang.
Muhamad Shahilmi melihat pangkat sarjan yang diterima rakan setugasnya, Simon Pasang.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang berjaya membongkar aktiviti sindiket pengedaran dadah bernilai RM22.46 juta di Bukit Mertajam Februari lalu menerima kenaikan pangkat.

Koperal Simon Pasang Anak Kana, 33, dan Koperal Muhamad Shahilmi Shahadan, 30, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah itu menerima kenaikan pangkat Sarjan pada Majlis Pemakaian Pangkat Sarjan Secara Medan pada Rabu.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, penganugerahan itu diharap akan menaikkan semangat anggota lain supaya amanah menjalankan tugas sekali gus meningkatkan integriti pasukan beruniform.

“Sebenarnya ramai pegawai dan anggota yang berkualiti dan memiliki semangat yang tinggi dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Syabu bernilai RM22.46 juta dirampas

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan polis membongkar kegiatan pengedaran dadah yang didalangi tiga lelaki warga Indonesia melalui rampasan sebanyak 623.76 kilogram (kg) syabu bernilai RM22.46 juta pada 25 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain sebelum ini berkata, kegiatan sindiket itu terbongkar selepas dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) mengesan aktiviti mencurigakan yang dilakukan kumpulan lelaki berkenaan dalam sebuah lori di Jalan Kebun Nenas, Bukit Mertajam kira-kira jam 2 pagi.

Menurutnya, dua anggota URB menghampiri mereka namun dua daripadanya melarikan diri dan seorang lagi berjaya ditahan sebelum 495 bungkusan dadah ditemui dalam lori terbabit dengan anggaran berat 511.95kg bernilai kira-kira RM18.43 juta.

Artikel Berkaitan: