X

Kindly register in order to view this article
!

Syabu bernilai RM22.46 juta dirampas

Razarudin mendengar penerangan daripada pegawai penyiasat mengenai dadah yang dirampas.
A
A

GEORGETOWN - Polis membongkar kegiatan pengedaran dadah yang didalangi tiga lelaki warga Indonesia melalui rampasan sebanyak 623.76 kilogram (kg) syabu bernilai RM22.46 juta pada 25 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, kegiatan sindiket itu terbongkar selepas dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) mengesan aktiviti mencurigakan yang dilakukan kumpulan lelaki berkenaan dalam sebuah lori di Jalan Kebun Nenas, Bukit Mertajam kira-kira jam 2 pagi.

Menurutnya, dua anggota URB menghampiri mereka namun dua daripadanya melarikan diri dan seorang lagi berjaya ditahan sebelum 495 bungkusan dadah ditemui dalam lori terbabit dengan anggaran berat 511.95 kg bernilai kira-kira RM18.43 juta.

"Ketika serbuan mereka sedang memindahkan bungkusan dadah berkenaan ke dalam sebuah kereta Honda BRV namun tergendala selepas dihampiri anggota URB yang mahu membuat pemeriksaan.

"Susulan penangkapan suspek berusia 23 tahun itu membawa kepada penemuan 101 lagi bungkusan syabu yang disorokkan di ruang rahsia di bahagian lantai lori," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Razarudin berkata, susulan penahanan suspek, polis menyerbu sebuah kondominium di Bukit Mertajam dan menemui lagi lima bungkusan dadah seberat 4.895kg.

Katanya, polis kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesan dua suspek yang melarikan diri namun percaya mereka masih lagi berada di negara ini.

Razarudin menunjukkan ruang rahsia di bahagian lantai lori yang menjadi tempat menyembunyikan dadah.
Razarudin menunjukkan ruang rahsia di bahagian lantai lori yang menjadi tempat menyembunyikan dadah.

"Dua suspek terbabit dikenali sebagai Hafis Farezza, 21, yang sebelum ini tinggal di Jalan Juru Sentral, Bukit Mertajam dan Zulfikar, 32, dengan alamat terakhir di Flat Taman Pelangi, Perai.

"Selain itu, kita turut menahan tiga lelaki di sekitar Kulai dan Seri Alam Johor pada hari sama dan seorang lagi lelaki di Sungai Buloh pada 26 Februari bagi membantu siasatan berkaitan kes ini," katanya.

Ditanya mengenai bekalan dadah berkenaan diperoleh, Razarudin berkata, hasil risikan mendapati sindiket yang aktif sejak Mei tahun lalu mendapat bahan terlarang berkenaan di Kelantan yang diseludup masuk dari negara jiran.

Tambahnya, dadah itu dibawa ke Pulau Pinang untuk dipasarkan selain dipercayai akan diseludup keluar ke Indonesia.

"Setakat ini ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap semua suspek mendapati mereka bebas daripada sebarang dadah namun seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

"Kesemua mereka kini direman selama enam hingga tujuh hari untuk tindakan lanjut dan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!