Puluhan ribu ringgit demi zuriat

 Gambar hiasan. Gambar kecil: Dr Komathy
Gambar hiasan. Gambar kecil: Dr Komathy
A
A
A

KUALA LUMPUR - Demi menggapai impian untuk memiliki zuriat, ada pasangan suami isteri sanggup mengeluarkan belanja tinggi untuk membiayai kos rawatan kesuburan (subfertiliti) yang mencecah puluhan ribu ringgit.

Seperti yang diketahui umum, kos rawatan ketidaksuburan terutamanya yang menggunakan kaedah Teknologi Bantuan Konsepsi (ART) iaitu Pensenyawaan In-Vitro (IVF) atau bayi tabung uji dan Intra Cytoplasmic Sperm Injection (ICSI) adalah sangat mahal.

Kos rawatan ART paling rendah dianggarkan sekitar RM8,000 untuk satu kitaran rawatan dan ia ditawarkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Ketua Unit Subfertiliti LPPKN, Dr T Komathy berkata, kos rawatan subfertiliti yang ditawarkan pihaknya adalah berpatutan dan disebabkan faktor itu, sehingga kini kira-kira 85 peratus klien LPPKN daripada golongan B40 dan M40.

“Rawatan kaedah ART membabitkan IVF dan ICSI biasanya sangat mahal tapi di LPPKN, bayaran yang dikenakan bermula RM8,000 dan paling maksimum RM12,000 untuk satu kitaran rawatan selama dua bulan.

“Bagi Prosedur Permanian Beradas (IUI), kosnya ialah RM1,000 dan paling maksimum RM2,000,” katanya kepada Sinar Harian.

Dr Komathy berkata, LPPKN menawarkan perkhidmatan kesuburan kepada pasangan yang masih belum mempunyai zuriat dan yang ingin menambah zuriat sejak 42 tahun lalu iaitu pada 1979.“Sehingga tahun 2020, lebih 5,000 kehamilan direkodkan.

“Jenis rawatan pula bergantung kepada punca penyebab masalah kesuburan dalam pasangan yang dikenal pasti semasa sesi kaunseling dengan pegawai perubatan.

“Ada pasangan yang perlukan kaunseling seksual sahaja, manakala kebanyakan pasangan memerlukan bantuan ubat kesuburan dan prosedur seperti IUI serta ART (IVF dan ICSI),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Komathy berkata, perkhidmatan rawatan kesuburan yang ditawarkan merangkumi bantuan ubat kesuburan dan teknik penyedutan sperma dari testis (sperm aspiration) bagi mereka yang mengalami masalah sperma tidak dijumpai dalam air mani.

Katanya, LPPKN juga menawarkan perkhidmatan penyejukbekuan sperma dan embrio (sperm and embryo freezing) iaitu sebagai simpanan untuk kegunaan masa akan datang.

“Embrio kami simpan maksimum lima tahun. Itu polisi kami walaupun embrio boleh disimpan sampai 10 tahun. Kebanyakan perkhidmatan penyejukbekuan di LPPKN adalah penyejukbekuan embrio (janin) yang dibuat melalui ART.

“Sperma pula biasanya jangka masa lebih pendek sebab tahap kebolehhidupan sperma bila disejukbekukan dan dikeluarkan semula adalah semakin berkurangan,” katanya.

Beliau menegaskan prosedur penyejukbekuan sperma itu dilakukan dalam beberapa keadaan tertentu misalnya suami mengalami kanser dan dijadualkan menjalani pembedahan atau rawatan kemoterapi atau radioterapi yang sememangnya akan merosakkan testis.

Tegas Dr Komathy, pihaknya turut melakukan pemindahan embrio beku (frozen embryo transfer) iaitu dengan menyahbekukan embrio sebelum memindahkannya ke dalam rahim isteri.

Dr Komathy
Dr Komathy

Syarat sukar hamil

Jelas beliau, LPPKN juga tidak meletakkan apa-apa syarat kepada pasangan yang mahu mendapatkan perkhidmatan mereka, selain mereka mestilah pasangan yang berkahwin dan mengalami kesukaran untuk hamil.

Sementara itu, Dr Komathy memberitahu, bagi pasangan yang kurang berkemampuan dan tidak mampu menanggung kos rawatan, mereka tidak perlu risau kerana kerajaan menyediakan pelbagai bantuan dan insentif untuk meringankan bebanan ibu bapa dan bakal ibu bapa.

Ujarnya, bantuan itu antaranya pengecualian cukai bagi anak-anak di bawah tanggungan, pengecualian cukai rawatan kesuburan dan Program Bantuan Subsidi IUI di LPPKN kepada pasangan yang tidak pernah hamil dan ingin menjalani IUI.

“Selain bantuan subsidi IUI, berkuat kuasa 1 September 2020, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga membenarkan pencarum mengeluarkan wang caruman dari Akaun 2 untuk tujuan rawatan IVF dan ICSI.

“Pasangan suami isteri juga boleh buat tuntutan daripada majikan bagi perbelanjaan rawatan kesuburan sehingga tahap IUI, khas untuk penjawat awam. Ramai juga yang menggunakan kemudahan ini hingga sekarang,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini polisi insurans di Malaysia tidak meliputi masalah kesuburan suami dan isteri.

Jelasnya, rawatan kesuburan pada masa ini ditawarkan di tiga klinik LPPKN iaitu Klinik Subfertiliti Pulau Pinang bagi zon utara, Klinik Subfertiliti Kuala Lumpur (zon tengah) dan Klinik Subfertiliti Johor Bahru (zon selatan).

Kata beliau, antara kelebihan perkhidmatan kesuburan LPPKN ialah senarai menunggu yang singkat (tidak melebihi tiga bulan), tidak perlu surat rujukan, dikendalikan oleh anggota klinikal terlatih, kebebasan untuk memilih doktor dan klien dirawat oleh doktor yang sama sehingga hamil dan selepas hamil.

“Kita juga ada kemudahan makmal sperma dan embrio serta makmal ujian kesuburan, dewan bedah dan wad harian.

“Kita juga memiliki kemudahan penyejukbekuan sperma dan embrio serta membenarkan klien membuat tuntutan rawatan kesuburan berdasarkan kriteria kelayakan mereka,” katanya.

Ditanya tentang rawatan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya, LPPKN tidak menawarkan rawatan kesuburan sepanjang tempoh PKP sebagai langkah berjaga-jaga.

Sebaliknya, rawatan diberi seperti biasa semasa tempoh PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti amalan 3W, mengehadkan kehadiran klien di klinik pada satu-satu masa, penjarakan fizikal dan saringan Covid-19 pada setiap lawatan.