Anugerah Guru Inspirasi McDonald's kembali lagi!

Zanariah Mohd Zudin, pemenang AGI 2019 bersama para pelajar yang meraikan kejayaannya.
Zanariah Mohd Zudin, pemenang AGI 2019 bersama para pelajar yang meraikan kejayaannya.
A
A
A

SHAH ALAM - BAGI menghormati dan menghargai jasa pendidik, Anugerah Guru Inspirasi (AGI) oleh McDonald's Malaysia (McDonald’s) akan terus diadakan pada tahun ini. Anugerah ini yang diwujudkan sebagai menghormati dan menghargai jasa pendidik seluruh negara kini telah memasuki tahun yang ke-5.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia Azmir Jaafar berkata, anugerah berkenaan diperkenalkan sempena sambutan Hari Guru yang diadakan pada 16 Mei setiap tahun.

Menurut Azmir, anugerah itu pertama kali diperkenalkan pada tahun 2017 dan menjangkakan jumlah penyertaan dalam kalangan guru akan bertambah pada tahun ini.

“Sepanjang empat tahun penganjuran anugerah ini, kami menemui pelbagai kisah guru yang mempunyai inspirasi tersendiri dan luar biasa.

“Sehubungan itu, McDonald’s Malaysia berharap lebih banyak pencalonan daripada rakyat Malaysia diterima pada tahun ini. Pencalonan untuk Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2021 akan bermula pada 2 April hingga 18 April ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2021 kini kembali.
Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2021 kini kembali.

Azmir berkata, pemenang AGI 2021 akan diumumkan pada 25 Mei 2021.

Artikel Berkaitan:

“Seramai 25 guru akan dipilih untuk menerima anugerah ini dan mereka yang memenangi anugerah ini akan menerima wang tunai sebanyak RM5,000, sebuah trofi dan sijil penghargaan.

“Pencalon pula akan menerima baucar McDonald’s bernilai RM200,” katanya.

Beliau berkata, anugerah itu memberikan pengiktirafan kepada guru yang melaksanakan tanggungjawab mereka melebihi tugas-tugas hakiki demi mendidik pelajar dan memberi inspirasi kepada mereka untuk menjadi lebih baik.

Guru luar biasa pacu kejayaan murid

Menurut Azmir, McDonald's Malaysia menghargai jasa pendidik luar biasa ini dan Sinar Harian mengimbau semula tiga daripada kesemua 81 guru yang pernah mendapat pengiktirafan anugerah berkenaan berserta kisah menarik mereka.

Abdul Muiz Hussin, pemenang AGI 2020 bersama sijil dan trofi kemenangan
Abdul Muiz Hussin, pemenang AGI 2020 bersama sijil dan trofi kemenangan

Seorang guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, Abdul Muiz Hussin berkata, seorang pendidik yang mengharungi segala kepayahan dengan senyuman percaya aktiviti pengajaran dan pembelajaran dua hala yang kreatif mampu untuk menjadi resipi kejayaan murid.

“Ketika mengajar di sekolah itu, saya telah mengambil inisiatif sendiri dengan membantu murid-murid yang menetap di sebuah perkampungan nelayan di Johor untuk menguasai Bahasa Mandarin,” katanya.

Berkat kegigihan, beliau berjaya membantu 25 murid termasuk seorang warga emas, Aisyah Abdullah, 65, di Kampung Pendas Laut, Gelang Patah untuk menguasai bahasa itu dengan agak baik dalam tempoh kurang setahun.

Sementara itu, Cikgu Fathil Khair Muhammad dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur pula membuktikan pelajar-pelajar istimewa mampu mencapai kecemerlangan dalam hidup seperti insan normal lain.

“Saya yakin tidak patut wujud sebarang jurang antara pelajar istimewa ini dan pengajar, semua orang berhak mendapat pendidikan, peluang, pendedahan, nilai, hak dan keadilan yang sama,” katanya.

Fathil Khair, pemenang AGI 2020 bersama Fatin Azwani ketika berada di Korea
Fathil Khair, pemenang AGI 2020 bersama Fatin Azwani ketika berada di Korea

Beliau berkata, ia terbukti apabila anak didiknya, Fatin Azwani Abu Zarin kini berusia 18 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan (buta sebelah mata) mampu meraih kecemerlangan hidup dan kejayaan yang luar biasa.

“Remaja perempuan yang disahkan mengidap kanser mata (retinoblastoma) sewaktu bayi itu memenangi pingat emas selepas mewakili Malaysia dalam acara eLife Map Challenge (Individu) pada Pertandingan Global IT Challenge For Youth With Disabilities 2019 di Busan, Korea,” katanya.

Bagi seorang lagi guru subjek Matematik, Zanariah Mohd Zudin telah menerima pencalonan daripada bekas pelajarnya sendiri, Muhammad Amin Akram Aminallah.

Zanariah bukan setakat cikgu kepada Muhammad Amin, sebaliknya dia adalah ‘mama' manakala suaminya, Kamarudzaman Osman sebagai 'papa' atau boleh dikategorikan mereka sebagai penjaga buat pelajar anak yatim itu.

“Saya mengganggap semua anak didik seperti anak sendiri,” katanya.

Beliau yang merupakan ibu tiga anak itu berjaya menyuntik semangat Muhammad Amin dan rakan-rakan untuk memperoleh kejayaan cemerlang sehingga ramai yang layak melanjutkan pelajaran mereka ke menara gading.

Impak positif

Menurut Azmir, Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s adalah sebahagian daripada nilai teras McDonald’s Malaysia untuk mewujudkan impak positif dalam kalangan masyarakat.

“Bagi percalonan untuk Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2021 bermula pada 2 April hingga 18 April ini rakyat Malaysia boleh mencalonkan guru inspirasi mereka di https://www.mcdonalds.com.my/anugerahguruinspirasi

“McDonals’s Malaysia mengalu-alukan rakyat Malaysia untuk menghantar kisah mengenai guru yang telah memberikan inspirasi kepada diri mereka. Kisah berkenaan boleh ditulis dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris ataupun Bahasa Cina,” katanya.

Beliau berkata, antara kriteria pemilihan pemenang ialah usaha luar biasa guru dalam meningkatkan pencapaian murid, teknik pengajaran inovatif yang dipraktikkan oleh guru, tindakan luar biasa melebihi tugas sebenar seorang guru untuk membantu murid dan juga impak terhadap diri murid.

No Image Caption
Play Icon