TNB luaskan capaian internet jalur lebar di Melaka menerusi Allo Technology

Majlis pelancaran perasmian rangkaian infrastruktur jalur lebar peringkat negeri Melaka bagi menyokong Pelan Jalinan Digital Negara yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Melaka.
Majlis pelancaran perasmian rangkaian infrastruktur jalur lebar peringkat negeri Melaka bagi menyokong Pelan Jalinan Digital Negara yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Melaka.
A
A
A

TENAGA Nasional Berhad (TNB) menerusi Allo Technology Sdn Bhd berjaya melengkapkan pembinaan infrastruktur gentian optik yang mampu menghubungkan lebih 17,000 kediaman di negeri Melaka.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Allo merupakan penyedia akses terbuka yang berjaya meluaskan capaian internet jalur lebar berkelajuan (HSBB) sehingga 1Gbps.

“Capaian internet ini disediakan oleh pembekal runcit (RSP) seperti Maxis, Astro, Digi dan Celcom.

“Antara kawasan yang terlibat ialah Alor Gajah melibatkan 8,500 kediaman, selain Malim Jaya (4,400), Ayer Keroh (500) dan Jasin (2,500),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kejayaan tersebut susulan projek rintis HSBB yang siap dalam tempoh kurang daripada tiga bulan bermula Januari 2019 yang menghubungkan sebanyak 1,100 kediaman.

“Penyediaan infrastuktur HSBB ini secara tidak langsung menggambarkan sokongan TNB dalam merapatkan jurang digital di kawasan bandar dan luar bandar di negara ini.

“Melalui Allo, TNB menawarkan perkhidmatan segmen ini dalam bentuk yang lebih pantas, lagi diyakini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, kemudahan infrastruktur gentian optik ini membuka peluang kepada lebih ramai penduduk Melaka untuk mendapat akses kepada internet jalur lebar pada harga yang berpatutan.

Artikel Berkaitan:

“Seterusnya capaian kepada pelbagai sumber maklumat selain pendidikan dalam talian. Ia juga menyokong hasrat kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi pemerkasaan dalam bidang ekonomi digital, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang mencabar akibat wabak Covid-19.

“Penglibatan TNB untuk menjayakan Dasar Digital Negara adalah sesuai dengan peranan TNB selama ini sebagai Penggerak Kemajuan Negara dan kini peranan itu diperkukuhkan lagi bagi menangani cabaran Ekonomi Digital serta Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0),” katanya.

Mengulas lanjut Mahdzir berkata TNB menerusi Allo turut mengorak langkah melebarkan sayap perkhidmatan jalur lebar di empat negeri iaitu Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan selain meluaskan capaian di Perak dan Kedah dengan sasaran 150,000 kediaman yang dijangka selesai pertengahan tahun ini.