Dana Cendana beri manfaatkan kepada 3,000 artis, pekerja kebudayaan

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 575 Individu, kolektif, kumpulan dan organisasi menerima inisiatif Pemulihan Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (Cendana) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) berjumlah RM10 juta.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, dana itu bakal memanfaatkan 3,000 artis dan pekerja-pekerja kebudayaan.

Beliau berkata, kesemua penerima merangkumi Program Pembiayaan Karya Kilat, Pilihan Industri Seni Kraf, Program Pembiayaan Muzik Independen, Program Pembiayaan Seni Persembahan, Program Pemulihan Ruang Seni dari Program Pembiayaan Ketahanan Organisasi Seni dan Program Komisen Seni Art In The City.

"Mereka yang berjaya menerima atau dalam proses akan menerima saiz geran yang berbeza bergantung pada aplikasi dan program disasarkan.

"Paling utama kita mahu seramai mungkin warga industri kreatif dibantu. Kita juga melihat gambaran yang lebih besar dengan berunding dengan stesen televisyen termasuk swasta.

"Sasaran utama adalah membolehkan sebanyak mungkin kegiatan industri ini dapat bergerak setelah setahun kita berdepan pandemik Covid-19," katanya pada sidang akhbar pengumuman penerima dana inisiatif pemulihan Cendana di bawah Penjana di sini pada Isnin.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Cendana, Izan Satrina Mohd Sallehudin dan Pengerusi MyCreative Ventures, Noor Azmi Mat Said.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan bahawa sebanyak RM30 juta geran diperuntukan untuk industri kreatif, acara dan pameran di bawah MyCreative Ventures.

Artikel Berkaitan:

RM10 juta di bawah Cendana pula merupakan sebahagian daripada bantuan kewangan RM150 juta daripada Pelan Penjana untuk Industri Kreatif.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Cendana, Izan Satrina Mohd Sallehuddin berkata, dana tersebut membantu penggiat industri kreatif yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Tahun lalu memberi cabaran yang tidak dijangka untuk komuniti seni dan budaya. Usaha seperti Pejana, pengumuman mengenai peruntukan Belanjawan 2021 dan usaha Prisma-KKMM amat penting bagi seluruh sektor seni dan budaya memandangkan 93 peratus daripada pemain industri menerima impak negatif akibat Covid-19," katanya.