Kawal ketat perairan negara

MOHD ZUBIL
MOHD ZUBIL
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Malaysia dan Vietnam akan memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi menangani pelbagai isu termasuk pencerobohan nelayan asing ke perairan negara.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, MoU itu dijangka ditandatangani tahun ini.

Beliau berkata, antara aspek lain yang akan dimeterai termasuk kerjasama penguatkuasaan, operasi menyelamat dan latihan.

"Kita akan melaksanakan MoU bersama Vietnam Coast Guard, draf perjanjian sudah hampir siap dan kini di peringkat semakan akhir oleh Peguam Negara.

"Saya yakin kerjasama meliputi pelbagai bidang akan dilaksanakan apabila Maritim Malaysia dan Vietnam Coast Guard sebulat suara bersetuju dengan MoU ini," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Terengganu pada Isnin.

Dalam pada itu katanya, pemeteraian MoU itu sepatutnya dilaksanakan sejak 2017 namun terpaksa ditangguh ekoran terdapat pertindihan tuntutan oleh Vietnam terhadap Malaysia berhubung perkara itu.

"Setakat ini kerajaan Vietnam menunjukkan reaksi positif berkenaan kerjasama (MoU) ini.

"MoU ini perlu disegerakan kerana terdapat banyak kes melibatkan pencerobohan bot nelayan asing Vietnam terutama di perairan pantai timur. Perkara ini bukan sahaja menimbulkan kebimbangan nelayan tempatan malah isu ini dilihat semakin serius," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai Ops Naga dan Kuda laut bagi membanteras pencerobohan nelayan asing, Mohd Zubil berkata, sebanyak 189 bot nelayan Vietnam dirampas dengan anggaran berjumlah RM493 juta sejak 2019 sehingga Mac 2020.

"Kita turut menahan seramai 1,609 nelayan Vietnam dan didakwa di Mahkamah berhubung kesalahan menceroboh dan mengaut hasil negara.

"Sejak beroperasi bermula 2005 sebanyak 2,000 bot nelayan Vietnam telah dirampas dan 80 peratus daripada bot ini dilupuskan menjadi tukun tiruan sebagai habitat pembiakan ikan di negara ini," katanya.