Lapan pantai di Terengganu dikategorikan kritikal akibat hakisan

Antara kawasan pantai di Kampung Pengkalan Maras, Kuala Nerus yang terlibat hakisan dan kini dalam proses pemulihan.
Antara kawasan pantai di Kampung Pengkalan Maras, Kuala Nerus yang terlibat hakisan dan kini dalam proses pemulihan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lapan pantai di Terengganu melibatkan kawasan seluas 10.9 kilometer (km) dikategorikan sebagai kritikal akibat hakisan.

Antara pantai terlibat ialah Pantai Kampung Teluk Budu di Besut, Pantai Taman Geliga dan Pantai Kemasik di Kemaman dan Pantai Seberang Takir.

Selain itu, Pantai Kampung Pak Tuyu di Kuala Nerus, Pantai Kg Aur di Kuala Terengganu serta Pantai Teluk Lipat dan Pantai Paka di Dungun.

Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Effi Helmy Ariffin berkata, berdasarkan kajian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, secara keseluruhan terdapat tiga kategori bagi kawasan pantai terlibat hakisan iaitu 10.9km bagi kawasan kritikal, 12km (sederhana) dan 129km (rendah).

“Kajian mendapati, kira-kira 10.9km daripada keseluruhan 244km kawasan pantai di Terengganu kini dikategorikan sebagai amat kritikal,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Sementara itu, Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu, Dr Mamad Puteh berkata, masalah hakisan itu kini dalam pemantauan dan ditangani secara komprehensif melalui penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang.

“Beberapa projek pemulihan hakisan di pantai yang paling teruk terjejas telah diluluskan kerajaan Persekutuan.

“Antaranya ialah peruntukan sebanyak RM57 juta untuk membaiki hakisan di Pantai Teluk Lipat dan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2022,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah memperuntukkan RM15 juta bagi menyelesaikan masalah hakisan pantai yang berlaku di Pantai Rusila, Marang sejak beberapa tahun lalu.

Mamad berkata, antara langkah diambil ialah proses penyuburan pantai di sepanjang 6km yang terjejas dengan menambak balik kawasan pesisiran dengan pasir.

Bagi projek jangka panjang pula katanya, akan dilakukan dengan lebih menyeluruh berdasarkan kajian Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) membabitkan peruntukan RM150 juta.

“Antara komponen utama struktur projek ini ialah pembinaan struktur pemecah ombak jenis ‘nearshore breakwater’ atau ‘groin’ bermula dari Chendering ke Marang.Bagaimanapun, skop kerja bagi projek ini masih di peringkat kajian,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Pengkalan Maras, Kuala Nerus, Mohd Fazli Md Isa, 32, berkata, usaha kerajaan untuk membaik pulih kawasan pantai yang terjejas disambut baik.

“Masalah hakisan ini sudah membelenggu sejak sekian lama. Saya akui amat terkesan dengan masalah ini dan berharap kerajaan melaksanakan apa yang dirancang,” katanya.