Ribut: Beberapa kampung, perumahan di Kuala Terengganu terjejas

Pekerja kontraktor melakukan kerja-kerja mengalihkan dan membersihkan pokok-pokok yang tumbang dalam kejadian hujan lebat dan ribut ketika tinjauan di sekitar Pantai Teluk Ketapang Rabu. - Foto Bernama
Pekerja kontraktor melakukan kerja-kerja mengalihkan dan membersihkan pokok-pokok yang tumbang dalam kejadian hujan lebat dan ribut ketika tinjauan di sekitar Pantai Teluk Ketapang Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Beberapa kampung dan kawasan perumahan di daerah ini dan Kuala Nerus terjejas dalam kejadian ribut yang bermula kira-kira 6.35 petang Rabu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Mohd Rosman Abdullah berkata, berdasarkan laporan terkumpul sehingga 10 malam Rabu, laporan diterima pihaknya melibatkan Kampung Pulau Musang, Taman Sapura Indah, Taman Semarak, Kampung Balai Maras, Kampung Duyong, Kampung Padang Hiliran dan Batu Buruk, di sini.

"Di daerah Kuala Nerus laporan yang diterima melibatkan antaranya di Kampung Sungai Ikan, Lorong Atap Zink, Pantai Putri Tok Jembal, Taman Sri Batin, Kampung Tok Jembal, Kampung Telaga Batin dan Gong Kuin Tok Jembal.

"Sejurus menerima laporan tersebut, pihak APM di daerah terlibat telah menghantar anggota masing-masing untuk kerja pembersihan jalan (pokok tumbang halang laluan) agar laluan boleh digunakan kembali,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya semua kerja pembersihan siap sepenuhnya malam semalam dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan oleh penduduk terjejas setakat ini.

Sementara itu, penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman memberitahu pihaknya telah melawat beberapa kawasan yang terjejas akibat ribut petang Rabu dan akan melihat apakah jenis bantuan segera yang boleh disalurkan bagi membantu mangsa terlibat.

"Ada banyak rumah terlibat kebanyakannya tercabut atap, atap pecah... Di kawasan perumahan Telaga Daing saya dimaklumkan dan sudah melawat ada lebih kurang 30 rumah terlibat, mungkin akan ada tambah (jumlah terlibat) sebab dari semasa ke semasa ada laporan.

"Buat masa ini saya tidak pasti (jumlah) spesifik, tapi rasanya lebih 100 rumah terlibat termasuk di kawasan-kawasan lain yang belum saya lawat. Kejadian seumpama ini jarang berlaku kalau ada pun masa musim tengkujuh, patutnya masa sekarang ni musim panas...iklim sekarang dah tak menentu," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan ribut di Seberang Takir di sini, pada Khamis. - Bernama