Sesat sejauh 640 km

Kaeomanee (tengah) diiringi anaknya (dua kanan) dan anggota imigresen ketika mahu menaiki pesawat pulang ke Thailand.
A
A

BANGKOK - THAILAND. Seorang wanita Thailand yang mengalami demensia dan meninggalkan rumahnya lapan bulan lalu kerana mahu bertemu anak lelakinya yang tinggal berhampiran telah berjalan sejauh 640 kilometer.

Kaeomanee Arjaw dari etnik Akha dilaporkan hilang dari rumahnya di Chiang Rai, kawasan pergunungan yang menempatkan zon Segitiga Emas terletak bersempadan Laos dan Myanmar pada 12 Jun lalu.

Dia ditemui di bandar Kunming, selatan China pada akhir bulan lalu sambil membawa kad pengenalan Thailand.

"Kaeomanee hanya berjalan kaki dan kadang kala berhenti di gerai sepanjang laluan untuk meminta makanan," kata jurucakap imigresen Chiang Rai, Kolonel Aekkorn Butsabarbodin.

Semalam, wanita itu bertemu semula dengan anaknya, Suchada, 35, yang terbang dengan pegawai Thailand ke Kunming.

"Saya mahu jumpa anak lelaki saya. Selepas bertemunya, saya terus berjalan dan tiada kenderaan di sekitar," katanya.

Sepanjang tempoh itu, wanita tersebut telah kehilangan 20 kilogram berat badannya. - AFP