Maritim tahan kapal dagang bersauh tanpa kebenaran

Kapal dagang yang bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Penawar, Kota Tinggi pada Sabtu.
Kapal dagang yang bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Penawar, Kota Tinggi pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah lagi kapal dagang yang bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Penawar, Kota Tinggi pada Sabtu.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki itu ditahan pada kedudukan 12.6 batu nautika timur Tanjung Penawar kira-kira jam 2.45 petang.

Beliau berkata, berikutan kejayaan Ops Jangkar Haram minggu lepas, Maritim Johor meneruskan lagi operasi dengan memantau rapat aktiviti berlabuh tanpa kebenaran di sekitar perairan negeri ini.

"Pemeriksaan mendapati kapal tangki yang berdaftar di Torre Del Greco, Itali melakukan kesalahan mengikut Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tanpa pemakluman atau kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Laut.

"Master dan Chief Officer kapal berkenaan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut. Sekiranya didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Menurut Nurul Hizam, tangkapan tersebut adalah yang ke-19 sejak Ops Jangkar Haram dilaksanakan pada 24 Mac lalu dengan jumlah keseluruhan penahanan tahun ini sahaja adalah sebanyak 37 kapal.

Katanya, Maritim Malaysia amat serius dan akan terus mempergiatkan lagi usaha bagi membanteras aktiviti bersauh tanpa kebenaran ini.

"Maritim Malaysia juga menasihatkan ejen kapal dan komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang jenayah dan kecemasan di perairan Johor segera hubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Johor (07-219 9404) atau talian kecemasan MERS 999 supaya tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia," katanya.