Sarawak United menang tipis ke atas Kelantan FC

Penyerang Kelantan cuba melepasi kawalan pertahanan Sarawak United pada aksi Liga Perdana di Kota Bharu pada Sabtu. - Foto: TRW Kelantan FC
Penyerang Kelantan cuba melepasi kawalan pertahanan Sarawak United pada aksi Liga Perdana di Kota Bharu pada Sabtu. - Foto: TRW Kelantan FC
A
A
A

KOTA BHARU - Sarawak United membuktikan statusnya sebagai pasukan 'terkuat' di Liga Perdana musim ini apabila menumpaskan Kelantan FC 1-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada Sabtu.

Beraksi di tempat lawan bukan satu masalah buat skuad bimbingan E-Elavarasan apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-37 menerusi rembatan kencang jarak jauh dari Lee Chang-Hoon untuk mengecewakan Mohd Faridzuean Kamarudin di pintu gol Kelantan FC.

Tuan rumah kemudian cuba bangkit menerusi beberapa gerak-gerak menarik ke kubu pelawat, namun dihampakan oleh ketumpulan jentera serangan.

Peluang terbaik hadir pada minit ke-39 menerusi rembatan Natanael Siringo Ringo namun sempat ditampan penjaga gol pelawat, Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Gol tunggal itu kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus memberikan kelegaan buat pasukan pelawat sebagai 'bekal' untuk dibawa ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, Sarawak United dilihat terus 'ghairah' memburu jaringan kedua namun Mohd Faridzuean bertindak cemerlang dengan menafikan rembatan Da Silva Mendonca pada minit ke-54.

Kegembiraan Sarawak United 'terencat' apabila jaringan Nur Shamie Iszuan Amin dibatalkan pengadil kerana 'ofsaid' pada minit ke-82.

Keputusan 1-0 itu kekal hingga tamat perlawanan.

Artikel Berkaitan: