Skim Inapan Kasih lebih kondusif

Ahmad Zakiyuddin (kiri) bersama Amran melihat model rumah di bawah Skim Inapan Kasih yang akan dibina pada tahun ini untuk didiami asnaf terpilih.
Ahmad Zakiyuddin (kiri) bersama Amran melihat model rumah di bawah Skim Inapan Kasih yang akan dibina pada tahun ini untuk didiami asnaf terpilih.
A
A
A

SEBERANG JAYA- Zakat Pulau Pinang (ZPP) melancarkan penjenamaan baharu bantuan bina rumah asnaf yang kini dikenali sebagai Skim Inapan Kasih.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amran Hazali berkata, penjenamaan semula itu meliputi model kediaman konsep terkini yang lebih moden dengan keluasan 800 kaki persegi.

Menurutnya, penjenamaan Skim Inapan Kasih itu adalah untuk menzahirkan kesungguhan ZPP dalam menunaikan amanah pembayar zakat dengan baik.

“Kita sentiasa menjaga amanah pembayar zakat dan antaranya adalah dengan membina rumah yang berkualiti dan sesuai untuk didiami asnaf. Selain itu, ZPP juga memberikan skim agihan yang terbaik kepada asnaf sebagai hak yang sepatutnya dimiliki oleh mereka.

“Skim Inapan Kasih ini merupakan titik tolak kepada pemerkasaan agihan zakat yang menjadi agenda utama pemerkasaan asnaf oleh ZPP. Secara tidak langsung, ia memberikan pengiktirafan kepada pembayar zakat yang sentiasa menyokong kita selama ini,” katanya ketika berucap di Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Amran berkata, model rumah Skim Inapan Kasih akan mengambil kira reka bentuk terkini, susun atur dalaman rumah yang kondusif serta keselesaan penghuninya.

“Kita amat menitikberatkan keselesaan penghuni yang bakal mendiami rumah yang akan dibina nanti. ZPP amat pentingkan kesempurnaan pada setiap pembinaan rumah yang dibina.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, pihak ZPP akan membuat pemantauan secara berterusan ketika rumah di bawah skim ini mula dibina sehingga siap. Ia bagi memastikan asnaf yang bakal mendiami rumah itu akan mendapat keselesaan,” katanya.

Menurut Amran, rumah yang mempunyai tiga bilik dan dua bilik air itu mengambil masa sehingga 50 hari untuk disiapkan.

“Kami mengambil masa selama dua bulan untuk menyiapkan sepenuhnya sesebuah rumah itu. Pembinaan rumah tiada masalah cuma hal berkaitan tanah seperti mendapatkan status sebenar tanah yang mungkin akan mengambil sedikit masa.

“Kita menyasarkan 30 rumah dapat disiapkan pada tahun ini dan sehingga hari ini, empat buah sudah siap dan telah diduduki. Semua hal berkaitan seperti bekalan air dan elektrik akan diuruskan ZPP,” katanya.

ZPP lantik 1,719 amil

Amran (dua dari kiri) dan Ahmad Zakiyuddin (depan, tengah) bersama Amil Zakat Fitrah ketika Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah pada Khamis.
Amran (dua dari kiri) dan Ahmad Zakiyuddin (depan, tengah) bersama Amil Zakat Fitrah ketika Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, Amran berkata, zakat fitrah bagi tahun lalu menunjukkan peningkatan luar biasa iaitu 9.5 peratus dengan peningkatan pembayar sebanyak 4.59 peratus berbanding tahun 2019.

Menurutnya, walaupun negara perlu berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 pada tahun lalu, ia tidak menghalang kutipan zakat fitrah dilakukan dengan baik.

“ZPP mendapat kerjasama yang jitu daripada amil zakat fitrah yang dilantik selain berjaya mempelbagaikan kaedah pembayaran zakat fitrah kepada masyarakat Muslim di Pulau Pinang.

“Antara kaedah-kaedah yang diguna pakai adalah memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) pembayaran zakat fitrah ketika tempoh PKP, memperkenalkan dua kadar bayaran; membekalkan pelitup muka dan alat sanitasi kepada amil serta memperbanyakkan saluran pembayaran zakat fitrah secara digital,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 18 pusat kutipan zakat fitrah yang merangkumi satu daerah untuk tiga buah pusat kutipan menerima Anugerah Pengurusan Zakat Fitrah Terbaik tahun 1441H/2020.

“Pada tahun ini, ZPP melantik seramai 1,719 amil zakat fitrah yang melibatkan 232 pusat kutipan bagi memungut zakat fitrah di seluruh Pulau Pinang. Bagi menguruskan kutipan zakat fitrah pada tahun ini, ZPP akan membuat pembayaran pendahuluan amil dengan kadar 85 peratus yang melibatkan RM518,768.

“Kadar ini adalah daripada jumlah upah yang diterima oleh amil pada tahun sebelumnya iaitu tahun 2020, melibatkan semua kariah dan pusat-pusat pungutan zakat fitrah yang dilantik,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, kutipan zakat fitrah bagi tahun lalu berjaya memungut RM5.54 juta berbanding tahun 2019 iaitu hanya RM5 juta.

“Saya percaya banyak cabaran yang dihadapi oleh amil zakat fitrah pada tahun lalu akibat masjid dan surau terpaksa ditutup kepada masyarakat awam. Selain itu, terdapat pusat kutipan zakat fitrah yang mengalami penurunan kutipan yang mendadak.

“Bagaimanapun, kesungguhan amil yang dilantik berjaya mempelbagaikan kaedah kutipan sehingga mencatatkan peningkatan yang besar dalam kutipan zakat fitrah pada tahun 2020,” katanya.