Usah hipokrit, retorik perjuang Akta Anti Lompat Parti

Dr Muhammad Faiz Na’aman
Dr Muhammad Faiz Na’aman
A
A
A

SHAH ALAM - Semua ahli politik terutama parti pembangkang tidak perlu bersikap retorik dan hipokrit dalam membicarakan kepentingan memperkenalkan Akta Anti Lompat Parti bagi membendung kecenderungan wakil rakyat lompat parti di negara ini.

Ini kerana, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman menyifatkan perjuangan menggubal akta berkenaan di peringkat Persekutuan hanya dijadikan satu polemik oleh segelintir wakil rakyat untuk meraih laba politik dan mendapat simpati rakyat.

Jelas beliau, penggubalan akta berkenaan juga bertentangan dengan prinsip demokrasi yang membenarkan mana-mana wakil rakyat mengalih sokongan kepada parti lain atas semangat kebebasan berpersatuan, bagi tujuan murni.

“Dalam kalangan mereka (ahli politik pembangkang) pun buat perkara sama (lompat parti dan terima wakil rakyat lompat parti). Mana boleh hanya bising bila parti masing-masing terkesan, tetapi bila mereka terima wakil rakyat lompat parti, itu tidak mengapa.

“Bagi saya, teras sebenar isu membabitkan wakil rakyat lompat parti adalah perubahan prinsip perjuangan asal didukung parti wakil rakyat berkenaan.

“Kalaulah parti itu tegas dengan pendirian dan tidak berubah-ubah mengikut kepentingan pemimpin tertentu, saya yakin wakil rakyat mereka akan terus setia dengan perjuangan parti,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas mengenai fenomena lompat parti yang semakin berleluasa di Malaysia sehingga menyaksikan 39 ahli Parlimen bertindak keluar parti sejak pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Susulan itu, terdapat gesaan supaya Akta Anti Lompat Parti diperkenalkan di peringkat Persekutuan bagi memastikan budaya wakil rakyat ‘katak’ dapat dihindarkan.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Faiz berkata, secara peribadi, beliau melihat kesan akibat wakil rakyat lompat parti sebagai subjektif kerana bukan semua antara mereka yang terus ditolak rakyat.

Bahkan, beliau berpendapat ada sisi positif bagi sebahagian wakil rakyat lompat parti atas dasar perjuangan untuk menegakkan kepentingan agama, bangsa dan negara, kerana ada senario memerlukan golongan ini membuat keputusan memenuhi kepentingan negara berbanding parti.

“Mengambil contoh Bersatu keluar daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH). Kalau kerajaan PH memang stabil, tidak menggugat sensitiviti agama Islam dan bangsa Melayu, agak tidak logik bagi kami membuat keputusan keluar gabungan itu dan bentuk kerajaan baharu.

“Masalah utama adalah kerajaan PH rapuh sampai rakyat naik menyampah, sebab itu Bersatu mengambil keputusan untuk membentuk kerajaan baharu bersama rakan-rakan parti pembangkang ketika itu (Pas, UMNO, Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.

Muhammad Faiz turut mengajak rakyat untuk menyelami semula objektif sebenar wakil rakyat lompat parti, sama ada tujuan itu demi kepentingan peribadi atau keutamaan lebih besar iaitu menyelamatkan negara.

“Kalau tujuan mereka sekadar kepentingan diri, maka hukumlah mereka (pada PRU nanti). Tetapi kalau niat mereka untuk menyelamatkan negara, maka golongan ini perlu terus diberi peluang,” katanya.