Rekod daftar vaksin di Melaka masih rendah

Rahmad
Rahmad
A
A
A

MELAKA - Pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Melaka masih rendah iaitu hanya 35 peratus pendaftaran setakat ini.

Exco Kesihatan dan Antidadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, angka itu menunjukkan seramai 248,049 individu sahaja yang telah berdaftar menerusi aplikasi MySejahtera sehingga 1 April dan ia membimbangkan kerana fasa kedua program itu akan bermula tidak lama lagi dengan mengutamakan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan berpenyakit kronik.

"Kita seru orang ramai untuk mendaftar vaksin dengan segera bagi memudahkan pihak jawatankuasa menyusun atur pemberian vaksin fasa kedua itu nanti.

"Harap masyarakat tidak menunggu hingga saat-saat akhir untuk mendaftar kerana ia penting bagi membantu petugas kesihatan menyusun janji temu berhubung pemberian vaksin itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Tibi Sedunia 2021 peringkat Negeri Melaka di Auditorium MITC, Ayer Keroh di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, pemberian vaksin bagi fasa kedua dan tiga akan diberikan keutamaan kepada mereka yang mendaftar awal.

Dalam perkembangan lain, Rahmad menasihatkan rakyat Melaka terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), memandangkan situasi semasa masih berada di tahap membimbangkan.

Menurutnya, dengan semangat pematuhan SOP yang tinggi dalam suasana norma baharu akan dapat mengekang penularan pandemik itu secara tidak langsung memutuskan rantaian Covid-19.

Artikel Berkaitan: