Maut selepas rempuh tiga kenderaan di lampu isyarat

Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di persimpangan Jalan Sultan Azlan Shah/Jalan Tengah, Bayan Baru petang Khamis.
Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di persimpangan Jalan Sultan Azlan Shah/Jalan Tengah, Bayan Baru petang Khamis.
A
A
A

BAYAN BARU - Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya merempuh tiga kenderaan lain di persimpangan Jalan Sultan Azlan Shah/Jalan Tengah di sini kira-kira jam 2.50 petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, dalam kejadian itu, K Vimaleswara, 30, disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital kira-kira jam 4.10 petang.

Ketika kejadian, katanya, dua buah kereta dan sebuah motosikal sedang berhenti di lampu isyarat di persimpangan tersebut sebelum dirempuh kereta jenis Suzuki Swift yang dipandu mangsa.

"Mangsa yang berasal dari Solok Kampung Jawa meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital kerana parah di kepala. Pemandu kereta Perodua Myvi berusia 42 tahun hanya luka di tangan.

"Pemandu kereta Toyota Vios yang berusia 24 tahun pula tidak mengalami kecederaan, namun penunggang motosikal Honda RS150 berusia 51 tahun mengalami luka ringan di tangan. Kesemua yang cedera dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa memandu keretanya dari arah Sungai Tiram menghala ke Georgetown.

"Kita masih menyiasat sama ada mangsa tidak sempat menghentikan kereta dipandunya atau kenderaannya itu mengalami masalah brek.

"Kita menggunakan khidmat pasukan bomba bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah keretanya yang terbalik. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: