Bayar sewa PPR baik, boleh jadi sokongan pinjaman rumah, kata Zuraida

Zuraida (dua,kanan) bersama Dzulkefly (kiri) menyempurnakan gimik perasmian Majlis Penyerahan PPR Uda Utama.
Zuraida (dua,kanan) bersama Dzulkefly (kiri) menyempurnakan gimik perasmian Majlis Penyerahan PPR Uda Utama.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang dalam perbincangan dengan Bank Negara untuk memberi kelonggaran kepada penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang mahu membuat pinjaman perumahan sendiri di masa akan datang.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, berikutan itu, rekod pembayaran sewa yang baik secara konsisten selama tiga tahun dengan PPR diharap dapat digunakan sebagai bukti bagi melengkapkan syarat yang diperlukan pihak bank.

"Kita sedang memikirkan bagaimana cara untuk memudahkan kepada mereka yang merupakan golongan B40 ini (untuk memohon pinjaman rumah).

"Kebanyakan mereka ini ramai yang bekerja sendiri dan biasanya tidak memiliki slip gaji," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan PPR Uda Utama, di sini hari ini.

Hadir sama; Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad.

Zuraida berkata, trek rekod daripada pembayaran bulanan yang baik daripada kerajaan negeri (bayaran sewaan PPR) boleh digunakan sebagai bukti.

"Pembayaran sewa yang konsisten boleh dijadikan sokongan dalam permohonan itu.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini dijangka akan di aplikasi ke seluruh negara dalam tahun ini bagi menangani masalah golongan B40 yang sukar mendapat kelulusan bank untuk membuat pinjaman perumahan," katanya.

Justeru, Zuraida berharap para penyewa PPR dapat menjadikan kediaman berkenaan sebagai transit dalam usaha mengukuhkan kewangan masing-masing untuk pembelian rumah sendiri di masa depan.

"Rumah transit ini (PPR) merupakan satu kaedah melatih golongan B40 ini mempunyai perancangan kewangan yang kukuh di masa akan datang supaya mereka lebih konsisten membayar hutang," katanya.

Pada majlis sama, Zuraida menyampaikan sijil tawaran penyewaan rumah sewa kerajaan kepada Noor Nadia Kamaludin yang merupakan balu kepada anggota bomba Allahyarham Mohd Fatah Hashim yang terkorban ketika operasi mencari dan menyelamat remaja berusia 13 tahun di sebuah lombong di Puchong, 3 Oktober lalu.

Noor Nadia
Noor Nadia

Dalam pada itu, Noor Nadia, 30, terharu dan berterima kasih atas keprihatinan semua pihak khususnya kerajaan negeri Pahang, Johor dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang membantunya bersama dua anaknya iaitu Nur Medina Aisya, 4, dan Muhammad Meqa Al-Asyraf, 3.

"Terima kasih kepada Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj yang membantu membiayai kos sewaan rumah ini," katanya yang tinggal sementara di kuarters bomba di Kempas bersama dua anaknya sebelum berpindah ke rumah baru pada Isnin ini.