Tapak projek ternak nyamuk

Shamsul Anuar mendengar luahan penduduk yang dikaitkan dengan tapak projek milik syarikatnya yang terbengkalai.
Shamsul Anuar mendengar luahan penduduk yang dikaitkan dengan tapak projek milik syarikatnya yang terbengkalai.
A
A
A
KUANTAN - Projek kondominum terbengkalai di Lorong Air Putih 89, dekat sini, tidak ubah menjadi pusat pembiakan nyamuk di kawasan kejiranan berkenaan.

Malah penduduk di situ mendakwa kehidupan mereka semakin tidak selesa apabila berdepan gangguan nyamuk.

Salah seorang penduduk, Gan Hoo Seng, 67 berkata, dia sendiri tidak selesa dengan masalah nyamuk yang dihadapi kerana bimbang berlaku penularan demam denggi akibat pembiakan nyamuk aedes di kawasan tersebut.

Menurutnya, kebimbangan penduduk berasas kerana sudah ada dua kes demam denggi melibatkan penduduk dilaporkan setakat ini. "Kawasan ini terbiar tanpa dibersihkan. Kita khuatir ada takungan air dari lubang yang di korek atau bekas terbiar jadi kolam pembiakan nyamuk.

"Pada masa sama, kita juga bimbang kawasan semak ini menjadi sarang haiwan berbisa seperti ular, biawak dan sebagainya,”katanya ketika ditemui di lokasi semalam.

Menurutnya, dia mewakili penduduk menggesa kawasan tapak projek terbiar itu dibersihkan dan pagar yang rosak digantikan kerana boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk.

Masalah penduduk itu mendapat perhatian Adun Semambu, Lee Chean Chung apabila menghantar pegawai khasnya, Chan Chun Kuang meninjau lokasi dan mendengar permasalahan penduduk selepas menerima aduan.

Chan berkata, pejabat Adun Semambu menerima beberapa aduan berkaitan tapak itu termasuk gangguan nyamuk dan ancaman keselamatan akibat pagar tapak projek yang rosak.

Katanya, penduduk mendakwa gangguan nyamuk berlaku bermula kira-kira dua minggu lalu manakala masalah pagar yang rosak sudah agak lama.
Artikel Berkaitan:


"Kita faham masalah yang dihadapi penduduk, jadi masalah ini akan diberi perhatian dengan merujuk kepada pihak bertanggungjawab termasuk pemaju untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengurus Besar Rangkaian Delima Reality Sdn Bhd, Shamsul Anuar Ya’akub berkata, tapak projek tersebut milik syarikatnya yang terbengkalai sejak Ogos 2015.

Menurutnya, projek pembinaan kondominium mewah di tapak berkenaan yang dilancarkan pada Februari 2015 tergendala akibat faktor ekonomi. "Saya sedia maklum permasalahan penduduk di sini dan akan mengambil beberapa tindakan dalam masa terdekat untuk mengatasinya.

"Sebenarnya pihak syarikat sudah mengambil tindakan perlu sebelum menutup tapak ini termasuk menimbus lubang cerucuk menggunakan pasir bagi mengelak air bertakung dan besi berkarat,”katanya yang turut berada di lokasi.

Beliau berkata, beliau tidak menolak kemungkinan masalah nyamuk yang berlaku di kawasan itu akibat cuaca tidak menentu.

Shamsul Anuar berkata, pagar tapak projek itu sudah tiga kali diganti namun menjadi mangsa vandalisme dan dicuri pihak tertentu.

"Syarikat akan buat semburan kabus bagi menghindarkan nyamuk," katanya.