Pulau Pinang benar aktiviti imarah masjid, surau pada Ramadan

Masjid dan surau di Pulau Pinang boleh mengadakan jamuan berbuka puasa, moreh dan sahur di kawasan masjid atau surau dengan mematuhi penjarakan fizikal.
Masjid dan surau di Pulau Pinang boleh mengadakan jamuan berbuka puasa, moreh dan sahur di kawasan masjid atau surau dengan mematuhi penjarakan fizikal.
A
A
A

GEORGETOWN - Aktiviti mengimarahkan masjid dan surau termasuk solat tarawih dan moreh di Pulau Pinang dibenarkan sepanjang Ramadan yang akan disambut tidak lama lagi.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP), Mohd Zakuan Zakaria bagaimanapun berkata, semua aktiviti itu perlu dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurutnya, semua pihak perlu mengikut garis panduan yang dikeluarkan untuk pelaksanaan aktiviti keagamaan pada Ramadan yang berkuat kuasa mulai 12 April ini.

"Bagi Ramadan tahun ini, solat tarawih dibenarkan iaitu sebanyak 20 rakaat. Bagaimanapun, untuk memastikan tempoh berkumpul tidak terlalu lama, pihak masjid atau surau boleh melaksanakannya sebanyak lapan rakaat.

''Bagi kadar bilangan jemaah pula, ia perlu mengikut kapasiti masjid dan surau yang mana jemaah perlu berusia tujuh hingga 70 tahun sahaja, selain mereka yang berada dalam keadaan sihat sahaja dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, tazkirah semasa solat sunat tarawih bagaimanapun tidak dibenarkan dan imam serta bilal perlu meringkaskan bacaan zikir, selawat serta doa.

Selain itu, katanya, program qiamullail di masjid dan surau dibenarkan, namun bermalam di masjid adalah dilarang sama sekali.

"Aktiviti majlis ilmu seperti tadarus, solat dhuha, kuliah Subuh dan sebagainya dibenarkan dengan jumlah jemaah yang ditetapkan sendiri oleh pihak masjid atau surau.

Artikel Berkaitan:

"Tenaga pengajar perlu terdiri daripada pemegang tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan pemastautin negeri ini sahaja. Tenaga pengajar daripada luar negeri adalah tidak dibenarkan," katanya.

Mohd Zakuan berkata, kariah masjid dan surau boleh mengadakan jamuan berbuka puasa, moreh dan sahur di kawasan masjid atau surau dengan mematuhi penjarakan fizikal.

"Namun hidangan makan bertalam tidak dibenarkan dan makanan berbungkus amat digalakkan.

"Bagi solat sunat Aidilfitri pula, kita benarkan yang mana kadar jemaah perlu mengikut kapasiti masjid atau surau dengan jemaah mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter," katanya.

Tambah beliau, aktiviti ziarah kubur sepanjang bulan Ramadan dan Syawal juga dibenarkan dengan kawalan kendiri.

Beliau berkata, pengoperasian kaunter zakat fitrah di masjid juga dibenarkan bermula Ramadan ini.