UMK terima geran bangunkan program keusahawan mahasiswa

Redhauddin (tengah) menyerahkan watikah pelantikan kepada Mohammad sempena 'Projek Keusahawanan Nasional: SEIP' sambil disaksikan Nik Maheran (kiri) pada majlis di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Khamis.
Redhauddin (tengah) menyerahkan watikah pelantikan kepada Mohammad sempena 'Projek Keusahawanan Nasional: SEIP' sambil disaksikan Nik Maheran (kiri) pada majlis di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terus diberi kepercayaan untuk membangunkan program keusahawanan dalam kalangan mahasiswa apabila menerima dana berjumlah RM940,000 daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Dana yang disalurkan menerusi Institut Keusahawanan UMK (UMKEI) itu bertujuan membangunkan syarikat pelajar berteraskan produk inovasi menerusi Projek Keusahawanan Nasional: Structured Entrepreneurial Incubator Program (SEIP).

Pengarah Kanan UMKEI, Profesor Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, UMK bertekad melahirkan seramai 200 usahawan pelajar di bawah program berkenaan menerusi 40 buah syarikat yang bakal ditubuhkan.

"Sasaran ini selari dengan hasrat KPT menerusi Pelan Tindakan Keusahawanan 2021-2025 dalam melahirkan lebih ramai usahawan graduan berinovatif dan kreatif yang berfokus kepada ‘opportunity driven entrepreneur, instead of necessity driven entrepreneur’," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Majlis SEIP itu dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Malaysia KPT, Redhauddin Kamaruzaman di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa di sini.

Turut hadir Pengarah Pusat Pembangunan dan Pendidikan Keusahawanan (CEED), Profesor Madya Dr Mohammad Ismail dan Pengarah Institut Perusahaan Kecil dan Sederhana (ISME), Dr Anis Amira Ab Rahman.

Sementara itu, Nik Maheran berkata, bagi memastikan misi itu mencapai target, SEIP akan menyumbang kepakaran dalam bidang pembangunan usahawan, penciptaan pekerjaan dan memberikan peningkatan ekonomi negara.

Beliau berkata, ia sejajar dengan dasar kerajaan Malaysia menjadi negara keusahawanan pada tahun 2030.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pada peringkat awal, kira-kira 60 peserta yang terdiri daripada ketua-ketua projek membabitkan 10 inkubator terpilih telah bersemuka dengan pensyarah pembimbing mulai Rabu.

"10 Ketua Projek Inkubator yang terlibat ialah daripada UMK, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor dan Kelantan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Politeknik Muadzam Shah Pahang serta Politeknik Melaka," kata beliau.