Malaysia akan terima 3.5 juta dos vaksin Covid-19 CanSino dari China

Datuk Dr Adham Baba
Datuk Dr Adham Baba
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Malaysia akan menerima bekalan 3.5 juta dos vaksin Covid-19 jenis CanSino dari China secara berperingkat, bermula bulan ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, perolehan vaksin itu dibuat dalam dua kategori iaitu produk siap sebanyak 500,000 dos dan selebihnya penghantaran secara pukal untuk diisi dan dibungkuskan oleh syarikat tempatan Solutions Biologics Sdn Bhd (SolBio).

Melalui perolehan vaksin CanSino yang merupakan dos tunggal, sejumlah 3.5 juta populasi di negara ini akan mendapat manfaat, katanya.

Dr Adham berkata, vaksin CanSino akan digunakan terutamanya di kawasan pedalaman dan kawasan di mana penerima sukar untuk datang menerima suntikan sebanyak dua kali seperti vaksin jenis Pfizer-BioNTech dan Sinovac.

“Vaksin dos tunggal ini juga boleh digunakan bagi tujuan vaksinasi warga asing yang berada di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas majlis memeterai perjanjian antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan SolBio untuk mengilang vaksin atau secara fill and finish, di sini pada Khamis.

Melalui perjanjian itu, SolBio akan mengendalikan proses pembotolan vaksin sebanyak tiga juta untuk dibekalkan kepada kerajaan.

Namun, kata Dr Adham, syarikat tersebut masih perlu mematuhi semua peraturan berkaitan pendaftaran dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum boleh melaksanakan pembekalan vaksin.

“Sekiranya syarikat gagal mendapatkan kelulusan pendaftaran yang diwajibkan, perjanjian tersebut boleh dibatalkan kerana kerajaan menitikberatkan keberkesanan, keselamatan dan kualiti,” katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: