Derma buku, kanopi DUN Semambu

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Program Derma Buku dan Kanopi Percuma antara khidmat masyarakat disediakan Pusat Khidmat Komuniti DUN Semambu, di sini.

ADUN Semambu, Lee Chean Chung berkata, menerusi program ini, masyarakat yang menderma buku terpakai secara tidak langsung telah menjadi penyumbang ilmu kepada seluruh warga Kuantan kerana buku-buku itu akan diedarkan di beberapa lokasi terpilih di daerah ini.

"Antaranya di kedai gunting, kedai makan, stesen petrol dan beberapa tempat lagi yang kita telah kenal pasti.

"Bahan bacaan adalah ilmu yang paling mudah untuk dikongsi kepada umum," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Pusat Khidmat Komuniti DUN Semambu yang baharu di Lorong Sekilau 58, Jalan Haji Ahmad, di sini.

Hadir sama Ahli Parlimen Setiawangsa yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua penerangan Majlis pimpinan Negeri PKR Pahang, Ahmad Nizam Hamid.

Chean Chung turut mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai Derma Buku ini.

"Seperkara lagi ialah khidmat penyediaan kanopi percuma kepada komuniti Semambu yang disebut projek Kanopi Rakyat bertujuan memberi perkhidmatan dan ringankan bebanan anak muda dan keluarga bagi urusan perkahwinan, majlis sosial dan kemasyarakatan serta aktiviti setempat.

Artikel Berkaitan:

"Kanopi ini milik komuniti DUN Semambu di mana meja kerusi, kipas dan lampu akan turut dipinjamkan kepada penduduk komuniti Semambu untuk kegunaan mereka.

"Permohonan boleh dibuat menerusi pusat komuniti di sini, dan jika lulus cuma bayar RM100 untuk kos angkut dan pasang," katanya.

Bercakap mengenai Pusat Khidmat itu, Chean Chung telah memulakannya sejak awal lagi malah pusat khidmat itu pernah berada di jalanan dengan memasang khemah di pasar-pasar bagi membantu masyarakat.

Kini, setelah berpindah dua lokasi dan pejabat, akhirnya Chean Chung mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi membeli sebuah rumah yang digunakan untuk tujuan berkhidmat kepada rakyat.

"Pusat ini adalah bukti agar rakyat merasa tidak silap memilih kerajaan.

"Rakyat perlu bersatu bagi mencapai cabaran ekonomi ini bersama sama kerana sekarang bukan masa untuk kita menuding jari, tetapi perlu berganding bahu mencapai masyarakat sejahtera," katanya.

Tambahnya, dengan adanya Pusat Khidmat Komuniti DUN Semambu yang lebih selesa ini akan memudahkan masyarakat Kuantan khasnya komuniti.

"Semoga kita dapat bersatu mengharungi cabaran ekonomi ini bersama," katanya.

Dalam perkembangan lain, pusat tersebut berjaya menyelesaikan 2,324 aduan daripada keseluruhan 2,943 sejak 2013.