X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Lebam mata ditumbuk warga asing, tegur tak pakai pelitup muka

Mr Lee lebam di bahagian mata.
A
A

WANGSA MAJU - Seorang lelaki lebam pada bahagian mata akibat ditumbuk dua warga asing yang tidak berpuas hati dengan tindakannya menegur mereka yang tidak memakai pelitup muka dalam kejadian di sebuah kondominium di Setapak di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian sekitar jam 7.30 petang itu, anak mangsa berusia 15 tahun turut dipukul hingga pengsan ketika cuba membantu meleraikan pergaduhan bersama suspek dipercayai warga Somalia.

Menceritakan kejadian, mangsa yang mahu dikenali sebagai Mr Lee, 34, berkata, insiden bermula di dalam lif kondominium ketika dia baru pulang membeli keperluan harian.

Menurutnya, dia menegur suspek yang berada di dalam lif sama kerana tidak memakai pelitup muka namun tindakannya itu telah menyebabkan berlaku perang mulut sebelum insiden tolak-menolak.

"Lelaki tersebut bersama seorang rakan kemudian mencari saya hingga ke rumah sebelum berlaku pergaduhan hampir setengah jam sebelum dileraikan orang awam.

" Saya alami luka kecil dan lebam di bahagian mata telah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang akhbar bersama Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Dr Tan Yee Kew pada Rabu.

Mr Lee mengakui mengeraskan suaranya ketika menegur suspek selepas bosan dengan sikap warga asing di kawasan perumahan itu yang tidak peka dengan pemakaian pelitup muka.

Mr Lee (kiri) menunjukkan kecederaan dialaminya.
Mr Lee (kiri) menunjukkan kecederaan dialaminya.

"Biasanya saya bawa ekstra pelitup muka untuk beri kepada mereka yang tidak memakainya. Cuma pada hari kejadian saya tak bawa pelitup muka lebih dan hanya membuat teguran tersebut, " katanya.

Sementara itu Yee Kew berkata, kondominium tersebut diduduki oleh 40 peratus warga asing yang terdiri daripada pelajar dan pekerja dalam negara.

"Jadi saya harap pemilik unit yang menyewakan unit mereka kepada warga asing bersikap lebih bertanggungjawab dan memantau penyewa masing-masing.

"Isu warga asing di kawasan ini telah lama berlaku. Beberapa langkah telah diambil untuk atasi masalah sosial di sini namun belum menemui jalan penyelesaian yang berkesan," katanya.

Pada masa sama katanya, pihaknya meminta pihak kedutaan negara terlibat memandang serius isu tersebut dan memantau kelakuan rakyatnya yang berada di Malaysia.

"Saya berharap pihak kedutaan memberi nasihat kepada rakyat mereka supaya tidak menimbulkan pergaduhan di negara kita. Mereka perlu belajar, cuba serap budaya dan cara hidup kita.

"Saya juga seru rakyat Malaysia untuk bersikap terbuka dan bertoleransi dengan perbezaan budaya supaya boleh hidup bersama aman damai," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!