Silap tulisan, 289 bingkai kaligrafi dirampas

Sebanyak 289 bingkai hiasan kaligrafi bernilai RM30,000 dirampas dalam operasi bersepadu di Yan pada Isnin.
Sebanyak 289 bingkai hiasan kaligrafi bernilai RM30,000 dirampas dalam operasi bersepadu di Yan pada Isnin.
A
A
A

YAN - Sebanyak 289 bingkai hiasan kaligrafi bernilai RM30,000 dirampas selepas dikesan berlaku kesilapan tulisan, ejaan dan perkataan membabitkan kalimah al-Quran.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kedah, Zaki Mohamed berkata, kesemua bingkai hiasan kaligrafi potongan ayat suci al-Quran serta kaligrafi kalimah ALLAH itu dirampas dalam satu operasi bersepadu di sebuah premis menjual barangan hiasan dan kelengkapan rumah di sini, pada Isnin.

Menurutnya, operasi yang dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) KDN Negeri Kedah dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah Yan itu diketuai Pegawai Agama Yan, Syeikh Alwi Othman.

"Operasi dijalankan mengikut Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986 yang mensasarkan premis jualan barangan hiasan yang turut menjual kaligrafi tulisan khat terbabit," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Syeikh Alwi berkata, hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan tulisan kaligrafi hiasan yang dijual tidak mematuhi Mushaf Uthmani dan tiada perakuan kelulusan dari KDN.

Penguat kuasa KDN memeriksa bingkai di sebuah premis.
Penguat kuasa KDN memeriksa bingkai di sebuah premis.

Menurutnya, antara yang dikesan termasuk kesalahan ejaan dan baris serta kesilapan ejaan kalimah ALLAH, petikan ayat Seribu Dinar, ayat empat Qul dan ayat Kursi.

"Antara yang dikesan termasuk ada kalimah yang tertinggal, kesilapan ejaan dan tempat berhenti sehingga boleh membawa kepada perkataan dan maksud berbeza," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bingkai hiasan tulisan kaligrafi berkenaan dipercayai dibawa dari negara luar ke Malaysia tanpa kebenaran atau perakuan kelulusan mengikut akta sepatutnya.

"Kita dapati hiasan ini dijual pada harga puluhan ringgit sehingga mencecah ribuan ringgit untuk dijadikan hiasan rumah masjid," katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya berhati-hati sebelum melakukan pembelian bagi memastikan tidak menimbulkan kekeliruan atau menyalahi hukum serta undang-undang percetakan.