Isu lawatan PDRM: Timbulkan konflik kepentingan

Hassan (tengah) sewaktu merasmikan Majlis Perasmian Ibu Pejabat Srikandi PKR Negeri Johor dan Pejabat Cabang PKR Simpang Renggam di Taman Seri Indah, Simpang Renggam.
Hassan (tengah) sewaktu merasmikan Majlis Perasmian Ibu Pejabat Srikandi PKR Negeri Johor dan Pejabat Cabang PKR Simpang Renggam di Taman Seri Indah, Simpang Renggam.
A
A
A

SIMPANG RENGGAM - Isu lawatan delegasi pegawai tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Turki yang didakwa ditaja oleh syarikat nombor ramalan, Da Ma Cai hanya menimbulkan konflik kepentingan dan imej tidak baik terhadap pasukan badan beruniform tersebut.

Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim berkata, isu ini tidak seharusnya diletakkan pada bahu PDRM sahaja, sebaliknya kerajaan PH juga perlu bertanggungjawab kerana membiarkan amalan yang tidak sihat ini berlaku.

"Ini amat malang kepada PDRM kerana mereka sendiri mempunyai pasukan 'intelligence' (perisikan) dan sepatutnya siasat dahulu mengenai lawatan ini sama ada tajaan ini datangnya daripada kerajaan atau sebaliknya.

"Kalau dari kerajaan tak ada masalah kerana sebagai pegawai tinggi, mereka memang berhak dan bila ditaja oleh syarikat korporat berkaitan perjudian saya lihat isu ini sebagai mengarut sehingga mewujudkan konflik kepentingan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Ibu Pejabat Srikandi PKR Negeri Johor dan Pejabat Cabang PKR Simpang Renggam di Taman Seri Indah, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon; Senator Orang Asli Malaysia, Datuk Isa Abd Hamid; Ketua Cabang PKR Simpang Renggam, Wong Yung Ching dan Ketua Srikandi PKR Negeri Johor, Nur Khurul Ain Abdul Samat.

Menurutnya, pendedahan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengenai isu berkenaan kelmarin juga secara tidak langsung menjejaskan imej PDRM dan kerajaan PH sekali gus menimbulkan persepsi tidak baik rakyat kepada badan penguatkuasaan tersebut.

"Tak boleh salahkan kerajaan yang lalu sahaja dan kerajaan yang sekarang kena pikul tanggungjawab dan kalau tahu kerajaan dulu tak betul buat apa diteruskan benda seperti ini dan amalan seperti ini perlu diberhentikan.

Artikel Berkaitan:

"Tak perlu jadi peguam untuk lihat isu ini kerana orang biasa pun boleh lihat bahawa syarikat korporat ini menguruskan bisnes dan mempunyai premis berlesen dan bila buat baik terhadap pegawai tinggi PDRM mereka mesti ada peluang, tambahan pula ada pegawai tinggi ini yang hendak bersara," katanya.

Menurutnya, isu ini secara tidak langsung juga bercanggah dengan Pelan Antirasuah Nasional ( NACP) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan satu usaha kerajaan ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti.

Katanya, beliau meminta kerajaan menjadikan isu ini sebagai pengajaran dan meminta Ketua Polis Negara yang bakal dilantik menggantikan Tan Sri Mohd Fuzi Harun untuk lebih cermat dalam menangani isu seperti ini.

Kelmarin, Guan Eng mendedahkan kos lawatan Mohd Fuzi dan beberapa pegawai kanan polis ke Turki tidak ditanggung dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan tetapi mendapat sumber kewangan daripada Da Ma Cai.