Lapan dipanggil himpunan Undi 18

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah memanggil lapan individu perhimpunan membantah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan undi 18 tahun di Jalan Parlimen di sini pada Sabtu.

Individu terbabit ialah aktivis Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amir Abdul Hadi; Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), Sharan Raj; Ahli Jawatankuasa Pemuda Sosialis PSM, Arveent Kathirtchelvan dan Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Turut dipanggil ialah Ketua Pemuda DAP, Howard Lee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura serta Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, keterangan kesemua mereka sudah direkodkan dan masih ada beberapa individu lain akan dipanggil untuk membantu siasatan.

"Kita juga sedang menunggu siasatan lengkap sama ada akan mengenakan tindakan kompaun ke atas mereka yang terlibat dalam himpunan terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sabtu lalu, Mohamad Zainal berkata, siasatan dijalankan membabitkan himpunan sekumpulan individu dari Pakatan Harapan (PH) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berarak dari Padang Merbok menuju ke Jalan Parlimen.

Tambahnya, siasatan dibuat di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu mengadakan perhimpunan tanpa notis.

Siasatan turut dijalankan di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) 2021 iaitu apa-apa aktiviti dengan kehadiran yang ramai di suatu tempat sehingga menyukarkan untuk melaksanakan penjarakan sosial dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah.

Artikel Berkaitan:

Justeru beliau berkata, polis meminta orang ramai terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Himpunan Tuntut Undi 18: Sembilan individu beri keterangan