Daesh tunjuk belang di utara Mozambique

Kerajaan Mozambique terpaksa menghadapi serangan kumpulan Daesh di negara itu sejak tiga tahun lalu. - Foto AFP
Kerajaan Mozambique terpaksa menghadapi serangan kumpulan Daesh di negara itu sejak tiga tahun lalu. - Foto AFP
A
A
A

KUMPULAN Daesh menunjukkan kekuatannya di utara Mozambique apabila menawan bandar Palma pada Rabu minggu lalu dalam pertempuran selama tiga hari dengan askar-askar dan polis negara itu yang didakwa dirancang dengan rapi.

Seramai 55 orang terbunuh termasuk sejumlah askar manakala sejumlah kenderaan dirampas, beberapa buah bank, kilang-kilang, balai polis ditawan, warga-warga asing dan penduduk beragama Kristian dibunuh oleh anggota-anggota kumpulan tersebut.

Ratusan orang lagi didakwa hilang dalam serangan itu.

Bandar berkenaan merupakan lokasi pejabat-pejabat syarikat asing meneroka simpanan gas asli dianggarkan bernilai AS$60 bilion (RM249.06 bilion) dan terletak dalam wilayah Cabo Delgado yang didiami oleh kira-kira 75,000 penduduk.

Ratusan orang termasuk warga asing telah dipindahkan dari Palma pada minggu lalu menerusi beberapa buah helikopter dan kapal-kapal tempatan serta bot-bot atau melarikan diri ketika serangan tersebut berlaku.

Bandar Palma di Mozambique kini dikenali sebagai 'bandar berhantu' selepas sebahagian besar penduduknya meninggalkannya selepas ia ditawan oleh kumpulan Daesh pada Rabu minggu lalu. - Foto AFP
Bandar Palma di Mozambique kini dikenali sebagai 'bandar berhantu' selepas sebahagian besar penduduknya meninggalkannya selepas ia ditawan oleh kumpulan Daesh pada Rabu minggu lalu. - Foto AFP

Sebahagian lagi penduduk tempatan turut bertindak melarikan diri dengan sebahagiannya menggunakan laluan darat dengan berjalan kaki sejauh 50 kilometer (km) untuk menyelamatkan diri masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Terdapat juga penduduk yang berjalan kaki selama beberapa hari melalui hutan untuk mendapatkan perlindungan di Mueda, 180 km dari selatan bandar tersebut dan apabila sampai kaki mereka didapati bengkak.

Syarikat cari gali minyak dan gas Total dari Perancis dilaporkan melaburkan berbilion-bilion dolar bagi mendaptkan gas asli di Lautan Hindi dalam perairan negara itu yang dikatakan mempunyai simpanan gas antara yang terbesar di dunia.

Pelaburan syarikat Total itu dan beberapa syarikat asing lagi dilaporkan dianggarkan bernilai AS$20 bilion (RM83.02 bilion) iaitu salah satu pelaburan yang terbesar di Afrika.

Menurut laman pemantau kumpulan pengganas iaitu SITE, kumpulan Deash pada Isnin lalu dilaporkan mengaku melakukan serangan itu dan menyatakan bahawa ia dilakukan oleh Daesh Wilayah Afrika.

Berikutan serangan itu, Lionel Dyck iaitu seorang pengarah daripada Kumpulan Penasihat Dyck iaitu sebuah syarikat ketenteraan swasta diminta membantu polis Mozambique menentang anggota-anggota kumpulan Daesh.

Beliau dilaporkan berkata, terdapat banyak kepala manusia yang dipenggal dan menyatakan adalah tidak mudah untuk kerajaan negara tersebut menawan semula bandar berkenaan daripada anggota-anggota kumpulan tersebut.

Anggota kumpulan Daesh itu dilaporkan dilengkapi dengan senjata-senjata seperti raifal automatik AK-47, mortar dan mesingan ringan ketika menentang askar-askar dan polis negara tersebut.

Pada Ogos tahun lalu, anggota-anggota kumpulan tersebut berjaya menawan Pelabuhan Mocimboa da Paria yang terletak kira-kira 50 km dari Palma yang juga dikenali sebagai bandar perikanan.

Penawanan Palma dikatakan mempunyai persamaan dengan cara yang digunakan oleh kumpulan Daesh semasa menakluk Pelabuhan Mocimboa da Paria apabila anggota-anggotanya menyusup masuk ke bandar pelabuhan tersebut dan tinggal bersama penduduk sebelum melancarkan serangan yang berlanjutan lebih seminggu.

Serangan itu dilakukan dari tiga lokasi di luar bandar tersebut pada Rabu lalu menyebabkan anggota-anggota keselamatan Mozambique bergegas keluar ke arah lokasi-lokasi tersebut.

Pada masa yang hampir sama pula, sebahagian anggota Daesh yang menunggu di dalam bandar tersebut bertindak menyerang bank dan balai polis.

Anggota-anggota Daesh itu dilaporkan tiba beberapa hari lebih awal dan bersembunyi di dalam rumah penduduk di bandar berkenaan yang bayaran penginapannya dibayar oleh mereka.

Menurut AFP, seorang jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric turut mengutuk keganasan di bandar tersebut dengan menyatakan terdapat beberapa orang dibunuh ketika mereka cuba meninggalkan sebuah hotel yang dijadikan sebagai tempat perlindungan semasa serangan berkenaan berlangsung.

Agensi berita itu melaporkan serangan itu dilihat sebagai kemenangan strategik untuk sebuah kumpulan militan.

Bandar itu kini dikatakan sebagai 'bandar hantu' kerana ramai penghuninya melarikan diri berikutan serangan kumpulan Daesh yang cita-citanya adalah untuk melaksanakan undang-undang syariah.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) turut menyatakan bahawa ia akan bekerjsama dengan kerajaan Mozambique untuk memerangi keganasan dan eksterimis ganas dan menewaskan kumpulan Daesh yang menawan bandar Palma. - Agensi