X

Kindly register in order to view this article
!

Krisis UMNO-Bersatu: Peluang PH kembali berkuasa

Ngah Ngah
A
A

KUANTAN - Krisis politik antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk kembali berkuasa di Putrajaya.

Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah berkata, kemenangan itu boleh dicapai PH menerusi perpecahan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, parti-parti dalam PH seperti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) perlu bersatu padu dan bekerjasama dengan lebih erat.

"Dalam politik macam-macam boleh berlaku. Kita di PH memang boleh bersatu padu tetapi saya tak nampak mereka (PN) boleh bersatu padu."

"Saya nampak keadaan sekarang dan kita (PH) lawan untuk kepentingan rakyat. Tetapi saya tidak nampak Barisan Nasional (BN) boleh mencapai apa yang mereka perjuangkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Pada pilihan raya umum (PRU) ke-15, BN diramal akan bergerak secara solo seperti pengumuman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamididalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 pada Ahad lalu.

Dalam pada itu, Ngah Ngah berkata, PH berhasrat untuk merampas semula pemerintahan di Putrajaya dan terus akan memberi tekanan kepada BN dan PN.

"Impian PH tidak pernah berhenti. PH bukan hanya mahu memerintah di peringkat nasinoal tetapi di Pahang juga," katanya.

Beliau berkata, DAP Pahang berhasrat untuk menambah bilangan kerusi bertanding pada PRU15.

Bagaimanapun katanya, perkara itu akan dibincangkan dengan barisan kepimpinan PH.

"Kita tiada masalah yang besar untuk runding isu kerusi kerana hubungan kita sangat rapat," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!