X

Kindly register in order to view this article
!

13 individu disyaki penagih dadah diberkas dalam Ops Tapis Khas

Kesemua suspek direman untuk siasatan lanjut. Gambar kecil: Mohamad Farouk
A
A

AMPANG JAYA - Seramai 13 individu disyaki penagih dadah ditahan dalam Ops Tapis Khas di Flat 610 Pandan Indah di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menahan lapan warga tempatan dan lima warga asing berusia 20 hingga 54 tahun dalam operasi itu.

"Ops Tapis Khas adalah susulan maklumat daripada orang awam yang mendakwa penagih dadah menjadikan rumah kosong untuk 'port' melepaskan gian," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohamad Farouk berkata, seramai dua pegawai dan 12 anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya bersama lapan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Ampang terlibat dalam operasi itu.

"Kita berjaya memberkas seorang lelaki disyaki memiliki dadah, suspek berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Seramai empat individu pula akan disiasat mengikut Seksyen 12 (2) akta sama, manakala lapan individu lain akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983," katanya.

Menurutnya, semakan rekod kesemua suspek warga tempatan mempunyai rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.

"Bagi warga asing pula, kita masih menyiasat pengesahan identiti dan dokumen mereka," katanya.

Mohamad Farouk berkata, ujian air kencing ke atas semua suspek didapati positif dadah jenis opiate dan methamphetamine.

"Kesemua suspek direman untuk siasatan lanjut," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!