X

Kindly register in order to view this article
!

RTM 75 tahun: Hala tuju dan cabaran untuk terus kekal relevan

Ruzain Idris
A
A

KUALA LUMPUR - Melangkaui tujuh dekad sebagai peneraju industri penyiaran negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus mengorak langkah melaksanakan transformasi pendigitalan selaras visi Pelan Strategik Jabatan Penyiaran 2021-2025.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ruzain Idris berkata, transformasi itu perlu dilaksanakan seiring perubahan teknologi penyiaran global yang menuntut semua organisasi terlibat untuk beradaptasi dan bergerak pantas termasuk merentasi sempadan antarabangsa.

Mengakui ia bukanlah suatu tugas mudah untuk beralih daripada menggunakan sistem penyiaran konvensional atau bersifat analog kepada digital secara sepenuhnya, beliau berkata antara cabaran terbesar yang dihadapi RTM ialah untuk terus bersaing dengan platform media penyiaran lain, sekali gus memastikan badan itu kekal relevan kepada masyarakat.

Saingan, kos dan infrastruktur

Dengan meletakkan sasaran audiens yang sama iaitu lebih kurang 32.69 juta rakyat Malaysia, semakin banyak organisasi media khususnya stesen penyiaran yang wujud, maka semakin mengecillah jumlah audiens.

Itu mungkin hipotesis yang boleh dikaitkan bagi menggambarkan situasi cabaran persaingan yang perlu dihadapi mana-mana agensi media termasuklah RTM sendiri.

Namun begitu, harus diakui RTM mempunyai kelebihan tersendiri baik dari sudut pengalaman, peranan sebagai badan penyiaran utama kerajaan, mempunyai jaringan kerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan yang lain sehingga membolehkan badan itu terus mewarnai dan mengungguli arena penyiaran negara.

“Selain persaingan, isu kos dan infrastruktur juga menjadi antara cabaran lebih-lebih lagi kita perlu beralih kepada sistem digital sepenuhnya. Setakat ini, kita sudah mempunyai aplikasi RTMKlik yang boleh diakses melalui telefon pintar dengan 26 saluran tersedia dan lapan saluran baharu yang akan ditambah kemudian.

“Seterusnya ialah isu keperluan untuk memberi latihan dan mengajar kemahiran baharu kepada hampir 4,000 petugas RTM bagi membiasakan mereka bekerja dengan menggunakan peralatan dan teknologi terkini berbanding sebelum ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di Angkasapuri di sini, baru-baru ini.

Ruzain bagaimanapun tidak menafikan sistem penyiaran digital hakikatnya memberi banyak kelebihan kepada industri penyiaran mahupun audiens berbanding kaedah sebelum ini.

“Ia antaranya mampu menyediakan output visual berkualiti tinggi (HD) yang membolehkan program-program TV yang lama dipulihara dan didigitalkan dari semasa ke semasa selain turut mempunyai tahap capaian liputan yang tinggi sehingga 98 peratus di seluruh negara,” katanya.

Perkasa MDI, media baharu

Berkongsi pandangan, Pengarah Bahagian Program TV Jabatan Penyiaran Saifuzzaman Yusop berkata, penyiaran TV Digital atau Televisyen Terestrial Digital (DTT) hanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya jika perkhidmatan penerbitan, persembahan serta bahan-bahan siaran turut sama dipertingkatkan kualitinya.

Dengan cara itu katanya, seluruh ‘wajah’ dan kandungan saluran TV RTM akan dijenamakan semula, bersifat lebih semasa dan menepati kehendak audiens bagi menyahut cabaran bukan sahaja di rantau Asia bahkan di seluruh dunia.

“Transformasi menerusi penjenamaan semula saluran-saluran TV ini amat penting bagi memperkasa penyampaian termasuk hebahan kerajaan secara lebih tepat, jelas dan sahih,” katanya.

Sementara itu, menyifatkan cabaran utama RTM beralih kaedah penyampaian daripada analog kepada digital ialah mencapai pelaksanaan penyiaran digital yang sempurna, Timbalan Pengarah Bahagian Media Digital Interaktif (MDI) RTM Finlayson Anak Ludan berkata perkara itu memerlukan masa serta komitmen daripada semua pihak.

Bahagian MDI RTM ditubuhkan pada 2006 bagi memantau serta menyelia pembangunan kandungan digital untuk siaran TV Digital, siaran hybrid (gabungan program radio dan TV) dan program dalam talian, pembangunan aplikasi interaktif HbbTV (hybrid broadcast broadband TV) untuk siaran TV Digital, Perkhidmatan RTM Online dan pengisian kandungan digital interaktif di media sosial.

“Dengan peralihan kepada digital ini ia diharap dapat menjana inovasi serta melakar sejarah dunia penyiaran digital terrestrial Malaysia bertaraf antarabangsa. Kami turut merancang untuk menjadikan media baharu iaitu RTMKlik dan media sosial rasmi RTM sebagai platform ke-3 selain radio dan TV.

“MDI RTM telah melaksanakan pengolahan kandungan yang lebih ‘segar’ dan menepati cita rasa khalayak semasa. Media baharu RTM bakal menjadi ejen promosi bukan sahaja bagi kandungan program RTM malahan membentuk masyarakat bermaklumat melalui program lain yang disediakan,” katanya.

Finlayson menambah, persaingan pelbagai aplikasi Over-The-Top (OTT) kandungan digital untuk tontonan umum melalui gajet atau komputer memerlukan bahagian MDI RTM menjadi lebih kreatif mencari bahan-bahan yang mampu menarik minat penonton terhadap program yang disiarkan media baharu RTM.

Antara strategi yang digunapakai ialah menyediakan kandungan dan program yang hanya boleh ditonton secara ekslusif di media baharu RTM selain turut memuat naik semula rancangan atau program klasik yang diberi nafas baharu menerusi kaedah pendigitalan.

Radio masih jadi pilihan

Berbeza pula situasinya di Sarawak apabila siaran radio RTM masih kekal menjadi platform utama dan medium penyampaian berkesan terutama yang melibatkan informasi kerajaan kepada lebih 2.82 juta rakyat negeri itu yang terdiri daripada kira-kira 26 suku etnik.

Mengambil contoh satu segmen khas yang dinamakan ‘Jako Pesan’ di saluran WAIfm Iban, Pengarah Jabatan Penyiaran Sarawak Abdull Hadi Mohd Yusoff berkata, ia diwujudkan bagi memberi peluang kepada masyarakat tempatan yang tinggal di bandar dan di rumah panjang untuk menyampaikan berita seperti kematian atau sebarang makluman aktiviti kepada kaum keluarga mereka.

Ditanya antara cabaran dan pendekatan yang dilaksanakan jabatan itu sewaktu krisis pandemik Covid-19, beliau berkata, pihaknya mengambil inisiatif mengubah konsep penerbitan rakaman rancangan secara langsung dan bersemuka kepada bentuk rakaman yang kemudiannya disiarkan dalam platform media sosial RTM.

“Sebagai contoh, rancangan ‘Juh Bermukun’ terbitan SARAWAKfm semasa ‘Program Juh Berambeh’ yang diadakan di Miri, telah disiarkan di Facebook RTM pada November 2020 dan mencatat tontonan melebihi 150,000. Ini secara tidak langsung merupakan satu kejayaan kepada kami apabila mendapat maklum balas positif daripada penduduk tempatan,” katanya.

Siaran radio RTM Sarawak meliputi Bahasa Melayu, Iban, Cina dan Inggeris. Selain stesen ibu pejabat di Kuching, terdapat juga stesen-stesen kawasan di Sri Aman, Sibu/Kapit, Bintulu serta Miri dan Limbang yang turut menggunakan bahasa perantaraan Bahasa Melayu dan Iban.

RTM Sarawak turut mempunyai lapan saluran radio iaitu SARAWAKfm, WAIfm (Iban & Bidayuh), REDfm (Inggeris & Cina), SRI AMANfm, SIBUfm, BINTULUfm, MIRIfm dan LIMBANGfm.

Kesemua siaran radio ini dibantu oleh pancaran frekuensi dari 26 stesen pemancar yang berada di seluruh negeri.

Abdull Hadi pada masa sama berharap agar infrastruktur dan kemudahan stesen pemancar di negeri itu dapat terus diperluas dan ditambahbaik bagi meningkatkan kadar capaian semasa untuk siaran radio (98 peratus) dan TV (lebih 85 peratus) dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!