Jangan pandang rendah pengundi muda

No Image Caption
A
A
A

KEPUTUSAN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun selepas 1 September tahun depan mengejutkan banyak pihak.

Ini kerana sejarah yang dicipta pada 16 Julai 2019 apabila barisan Ahli Parlimen Kerajaan dan Blok Pembangkang dengan memberi sokongan majoriti lebih dua pertiga bagi meluluskan undang-undang itu di Dewan Rakyat tidak menjadi realiti dalam tempoh terdekat.

Berdasarkan perancangan awal, SPR akan melaksanakan perkara tersebut Julai ini namun ia tidak berlaku kerana suruhanjaya itu mendakwa berhadapan dengan pelbagai kekangan.

Namun SPR mengatakan mereka komited untuk melaksanakan perkara itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), menjelang 2023 berpandukan Perkara 55(3) Perlembagaan.

Bagaimanapun, keputusan SPR itu mendapat kecaman pelbagai pihak terutama daripada pemimpin-pemimpin muda daripada parti-parti politik pembangkang dan juga kerajaan. Rata-rata merasakan bahawa tiada sebab yang kukuh untuk SPR menangguhkan perkara tersebut.

Banyak negara maju seperti United Kingdom, Eropah Barat, Amerika Syarikat, Jerman, Kanada, Perancis dan Australia sudah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Ini termasuk India, Pakistan, New Zealand dan semua negara di Amerika Latin, Afrika dan Asia termasuk Jepun turut mengambil langkah sama.Atas sebab itu, kelayakan mengundi pada usia 18 tahun tidak boleh dipandang ringan dan perlu dilaksanakan segera tanpa sebarang alasan.

Malah, alasan yang dibangkitkan oleh segelintir pihak yang mendakwa seseorang yang baru berusia 18 tahun itu masih tidak matang untuk membuat keputusan juga sangat dangkal.

Artikel Berkaitan:

Generasi muda pada ketika ini sudah jauh berbeza dengan generasi pada masa lalu. Jangan diremehkan tahap pemikiran golongan muda yang mempunyai kefahaman terhadap politik negara.

Mereka ini juga mempunyai hak untuk menentukan nasib dan masa depan mereka sebagai seorang rakyat di negara ini. Suara mereka juga wajar didengari.