THT tidak pandang rendah keupayaan Maybank

Pasukan Hoki Terengganu (THT) tidak boleh memandang mudah kemampuan Maybank pada perlawanan separuh akhir kedua Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Rabu ini: Persekutuan Hoki Malaysia.
Pasukan Hoki Terengganu (THT) tidak boleh memandang mudah kemampuan Maybank pada perlawanan separuh akhir kedua Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Rabu ini: Persekutuan Hoki Malaysia.
A
A
A

PASUKAN Hoki Terengganu (THT) tidak boleh memandang mudah kemampuan Maybank pada perlawanan separuh akhir kedua Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Rabu ini biarpun mempunyai kelebihan jaringan.

Pemain berpengalaman Mohd Fitri Saari, 28, yang optimis THT mampu ke final berharap semua pemain mengekalkan momentum kemenangan dan pada masa sama berwaspada dengan kebangkitan pasukan lawan pada aksi kedua nanti.

“Maybank boleh beri masalah kepada kita kalau kita pergi ke perlawanan tanpa sepenuh fokus. Apabila setiap pemain fokus kita ada keyakinan hendak bermain, kita boleh ke final,” katanya selepas perlawanan separuh akhir pertama, semalam.

Dua gol hasil jaringan padang Shello Silverius pada minit ke-22 dan Mohd Fitri pada minit ke-49 melengkapkan kemenangan 2-0 naib juara Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021 ke atas Maybank, sekali gus mencerahkan peluang ke perlawanan akhir.

Sementara itu, bagi menghadapi perlawanan Rabu ini, Mohd Fitri menuntut rakan sepasukan agar mencipta lebih banyak peluang terutama daripada aspek pukulan sudut penalti.

“Kita agak lemah apabila jentera serangan tidak dapat cari pukulan sudut penalti, kita hanya dapat satu pada perlawanan malam ini (semalam)...untuk aksi kedua kita akan berusaha cari lebih banyak pukulan sudut penalti,” jelasnya.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir pertama semalam, juara bertahan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) meraih kemenangan 1-0 ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi penyerang veteran Tengku Ahmad Tajudin Tengku Abdul Jalil yang menyempurnakan penalti strok empat minit sebelum perlawanan tamat, sekali gus memberi kelebihan buat juara Piala Sumbangsih yang memburu gelaran ‘treble’ tahun ini. -Bernama

Artikel Berkaitan: