TFC singkir Kelantan, mara separuh akhir Piala FA

Muhammad Azam (tengah) bersama rakan sepasukan meraikan jaringan gol pertama TFC ketika menentang Kelantan FC pada aksi suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, Kuala Nerus pada Sabtu. - Foto Bernama
Muhammad Azam (tengah) bersama rakan sepasukan meraikan jaringan gol pertama TFC ketika menentang Kelantan FC pada aksi suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, Kuala Nerus pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

NAIB juara Piala FA 2022, Terengganu FC (TFC) mengesahkan kemaraan ke pentas separuh akhir selepas mengatasi Kelantan FC, 4-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus pada Sabtu.

Perlawanan kedua derbi pantai timur selepas kemenangan besar 5-0 skuad Penyu kendalian Tomislav Steinbruckner ke atas The Red Warriors (TRW) pada April lalu dimulakan dengan rembatan Muhammad Azam Azmi Murad pada minit ke-17 menewaskan penjaga gol pasukan pelawat, Nik Mohd Amin Ahmad.

Tuan rumah berpeluang melebarkan jaringan menerusi Ivan Mamut pada minit ke-28, namun gol hasil hantaran Sony Norde tersebut didapati ofsaid oleh pengadil perlawanan, S Logeswaran.

TRW kendalian Frank Bernhardt yang masih belum menemui rentak kemenangan dalam lima perlawanan terakhir liga sejak mengambil alih tanggungjawab daripada Choi Moon-sik pada April terus ketinggalan apabila Mamut melebarkan jaringan pada minit ke-41.

Namun kedudukan itu tidak kekal lama apabila pemain import TRW dari Nigeria, Ismaheel Akinade merapatkan jurang minit ke-45 untuk kedudukan 2-1 separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, kedua-dua pasukan memperkemaskan corak permainan masing-masing menyaksikan bekas pemain kebangsaan Haiti, Sony Norde kembali melebarkan jaringan minit ke-53 untuk tuan rumah selepas menyudahkan hantaran Habib Haron.

Bagaimanapun TRW yang tidak mengalah, kembali semula ke dalam permainan apabila Ismaheel sekali lagi merapatkan jurang apabila menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kedua peribadinya pada minit ke-64.

Bagaimanapun hasrat TRW untuk memberi tekanan kepada skuad Penyu berakhir apabila Syafik Ismail mematikan kebangkitan pasukan pelawat dengan gol minit ke-82 bagi menceriakan 5,000 penonton.

Kemenangan anak buah Steinbruckner itu membolehkan kelab pantai timur tersebut menanti pemenang perlawanan Sabah FC menentang Kuala Lumpur City FC di pentas empat terbaik.