JDT lolos ke separuh akhir Piala FA

Pemain sayap JDT, Arif Aiman Hanapi diasak pertahanan Penang FC dalam aksi suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad. - Foto: FB Johor Southern Tigers
Pemain sayap JDT, Arif Aiman Hanapi diasak pertahanan Penang FC dalam aksi suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad. - Foto: FB Johor Southern Tigers
A
A
A

SKUAD Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan slot ke separuh akhir Piala FA 2023 apabila menewaskan Penang FC, 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad.

Kemenangan itu menyaksikan JDT bakal berdepan Selangor FC yang menewaskan Negeri Sembilan FC, 3-1 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Pada aksi suku akhir itu, skuad Harimau Selatan dilihat bermula garang sebaik wisel permulaan dalam usaha membuka jaringan.

Bagaimanapun, jentera serangan skuad kendalian Esteban Solari itu dilihat buntu untuk menembusi benteng pertahanan skuad Harimau Kumbang, malah hampir dibolosi beberapa kali hasil serangan balas pelawat.

Peluang terbaik JDT untuk membuka jaringan hadir pada minit ke-18 apabila penjaga gol Penang FC, Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri gagal menangkap kemas rembatan deras pemain import JDT dari luar kotak penalti.

Namun keadaan itu gagal dimanfaatkan penyerang import, Diogo Santo apabila Muhammad Azfar tangkas menyelamatkan bola.

JDT bagaimanapun berjaya membuka jaringan hasil jaringan sendiri pemain Penang FC, Ousmane Fane pada minit ke-32.

Gol itu nyata menyemarakkan lagi semangat kesebelasan JDT untuk terus mengasak ke gawang Penang FC bagi menambah jaringan dan usaha berkenaan berhasil apabila pemain pertahanan, Jordi Amat meledakkan gol kedua pada minit ke-38.

Penghujung babak pertama menyaksikan penyerang import Fernando Forestieri hampir menambah jaringan, namun rembatannya gagal menepati sasaran untuk kedudukan 2-0 kekal memihak buat tuan rumah.

Babak kedua menyaksikan JDT semakin garang mengasak ke pintu gol pelawat dan kali ini giliran pemain sayap lincah, Arif Aiman Mohd Hanapi menyempurnakan sepakan penalti untuk gol ketiga perlawanan pada minit ke-49.

Ketinggalan tiga gol bagaimanapun dilihat tidak melemahkan semangat kesebelasan Penang FC untuk mengasak ke gawang JDT bagi merapatkan jurang gol.

Bagaimanapun, akibat sedikit kelekaan, gawang Penang FC dibolosi lagi pada minit ke-58 dan kali ini oleh pemain pertahanan JDT, Corbin Ong.

JDT kemudiannya menjaringkan gol ke lima pada minit ke-60 namun jaringan penyerang import, Diogo Santo dibatalkan kerana ofsaid.

Biarpun selesa memimpin perlawanan, namun kesebelasan JDT dilihat masih mengasak hebat ke gawang Penang FC bagi menambah jaringan dan hasilnya, pemain gantian, Safiq Ahmad meledak gol ke lima pada masa kecederaan bagi mengesahkan kemenangan skuad Harimau Selatan ke separuh akhir Piala FA.